Home Ekonomi LCC berasingan tidak membantu pertumbuhan – MAHB

LCC berasingan tidak membantu pertumbuhan – MAHB

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Lapangan terbang berasingan khusus untuk syarikat penerbangan tambang murah akan hanya meningkatkan masa rangkaian hubungan dengan dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Disebabkan faktor itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) mengesyorkan supaya terminal sedia ada perlu digunakan sepenuhnya sebelum bangunan baru dibina.

Malah, kedua-duanya juga mencadangkan agar operasi berada dalam satu terminal untuk membolehkan masa penyambungan minimum (MCT) paling rendah untuk sambungan dan pembangunan hab.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, MCT yang lebih minimum merupakan pemangkin bagi lebih banyak syarikat penerbangan menawarkan penyambungan dan pertumbuhan.

“Membina hab yang kukuh bukanlah untuk memudahkan model perniagaan syarikat penerbangan tunggal tetapi melibatkan integrasi dan penyambungan semua sistem dan rangkaian syarikat penerbangan.

“Dalam erti kata lain, seberapa banyak syarikat penerbangan yang mungkin perlu disambung dengan lancar, lebih baik melalui terminal tunggal atau untuk jumlah penumpang yang lebih besar melalui terminal bersepadu supaya masa penyambungan dapat dikurangkan bagi sambungan yang lancar,” tambahnya.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, kesediaan AirAsia Group Berhad sebagai pemain penting dalam industri penerbangan tempatan mengintegrasikan operasi dengan syarikat penerbangan lain di rangkaian Malaysia menjadi titik perubahan bagi industri dan meningkatkan pertumbuhan trafik.

Tambahnya, memiliki terminal berasingan untuk syarikat penerbangan tambang murah bukan satu-satunya penyelesaian untuk pertumbuhan kolektif industri penerbangan dan meningkatkan pengalaman penumpang.

MCT terminal utama mempunyai lebih daripada tiga kali ganda sejak penambahan terminal kedua – pertama dengan terminal syarikat penerbangan tambang murah dan kemudiannya klia2.

Oleh kerana terminal utama KLIA dan klia2 tidak bersepadu sepenuhnya, MCT adalah lebih daripada tiga jam.

Sebaliknya, MAHB berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura telah menyatukan operasinya dalam persekitaran bersepadu, yang mana syarikat penerbangan tambang murah bersepadu syarikat penerbangan penuh.

“Ia memastikan MCT hampir 60 minit di semua terminalnya. MCT KLIA juga lebih lama berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta,” kata MAHB.

MAHB berkata, strategi yang sama ini terbukti berkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) apabila ia menyepadukan semua operasi dalam satu terminal pada 2015.

MCT di KKIA kini 60 minit berbanding lebih dari tiga jam ketika operasi diasingkan di Terminal 1 (T1) dan Terminal 2 (T2), kata MAHB. – MalaysiaGazette