KUALA LUMPUR – Exco Pendidikan ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelar tindakan dua ahli parlimen DAP yang menggesa tuntutan peruntukan bagi sekolah dan murid yang belajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Maik tidak perlu melayan permintaan Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh yang juga Ketua Pemuda DAPSY dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bercham, Ong Boon Piow itu.
“Tuntutan mereka tidak mencerminkan keseluruhan agenda Pakatan Harapan (PH),” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Ashraf berkata,pihaknya bersetuju SMPC tidak tergolong di bawah mana-mana kategori institusi pendidikan dalam sistem pendidikan nasional.
Malah dalam agenda PH melibatkan manifesto, tiada sedikitpun perihal yang menyatakan mengenai bantuan ke atas SMPC ataupun agenda memperkasakannya.
“ARMADA bersetuju tentang kepelbagaian dan pilihan yang wujud dalam sistem di Malaysia dan bersetuju untuk membantu dalam pemerkasaan kaum selain bumiputra, ini bererti ARMADA setuju untuk pendidikan aliran kaum cina turut diperkasakan namun semua itu perlu berlandaskan sistem pendidikan nasional malah berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan itu sendiri,” katanya lagi.
Maka tuntutan peruntukan untuk SMPC semestinya tidak perlu dilayan selain mempertimbangkan hanya tuntutan terkait SJK di bawah kerajaan.
“Sekiranya ahli parlimen PH menyantuni segenap menifesto PH, ianya cukup jelas untuk Menteri Pendidikan tidak perlu melayan walau sekelumit tuntutan yang diutarakan,” katanya.
Malah, menurut Mohd. Ashraf, janji nombor 49 dalam manifesto PH jelas menyatakan agenda untuk menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat.
Selain itu, pihaknya juga berpendapat Kementerian Pendidikan juga perlu mengkaji semula untuk melaksanakan UEC.
Ini kerana ia jelas bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan malah turut bercanggah dengan hasrat utama PH mencapai sebuah negara bangsa dan integrasi nasional yang lebih kukuh berbanding implimentasi ‘eksklusif’ kerajaan Barisan Nasional, katanya.- Malaysiagazette