KUALA LUMPUR – Pengasas Gerakan NGO Malaysia, Datuk Datu Fadli Fathullah bersedia menjadi perantara antara kerajaan Malaysia dengan waris Kesultanan Sulu.
Menurutnya, waris berkenaan ialah Datuk Omarali Bachthiyal yang kini berada di Sandakan, Sabah.
Justeru, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal Omarali individu sesuai untuk menjadi wakil membincangkan isu tuntutan Filipina yang mendakwa Sabah sebagai sebahagian daripada negara mereka.
“Ia bukan untuk mengeruhkan keadaan, orang tengah (Omarali) itu akan memudahkan lagi proses perundingan dengan Filipina.
“Dia bersedia menyelesaikan isu berkenaan apabila Filipina kata Sabah adalah negeri ketiga belas yang juga perkara ini dibahas oleh Mohd. Shafie baru-baru ini.
“Rundingan masih tergantung, jadi untuk ini perlu ada orang tengah sebab kita tidak mahu ada pecah belah Sabah, Filipina dan Malaysia, beliau waris yang betul,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau juga memberi jaminan Omarali akan berpihak kepada kerajaan Malaysia dan matlamat utama hanya untuk mengelakkan berlaku huru-hara seperti pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada tahun 2013.
Omarali menurut Datu Fadli, mempunyai maklumat jelas yang tidak diketahui oleh Filipina berhubung status Sabah.
“Beliau menawarkan diri untuk berunding dan berbincang secara baik di mana kerajaan Malaysia akan guna orang tengah dan Datuk Omarali akan berpihak kerajaan kita.
“Sebab apa ada yang muncul sebagai Sultan Sulu mengaku keluarga kerabat, sebab mereka, kerajaan Filipina pun mendapat maklumat yang salah,” jelasnya.
Beliau dalam masa yang sama mendakwa Tun M sendiri mengenali waris Sulu itu sejak menjadi Perdana Menteri keempat lagi, lebih 20 tahun yang lalu.
“Tun M sebelum ini masa jadi Perdana Menteri beri ruang lagi untuk perbincangan namun selepas itu tidak ada lagi perbincangan dan kini dia menjadi kembali Perdana Menteri semula, jadi perbincangan perlu diteruskan,” katanya.
Datu Fadli juga telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah pada 25 Julai yang lalu tentang cadangannya itu dan berharap perjumpaan rasmi akan berlangsung di antara kesemua mereka dalam masa terdekat.
Untuk rekod, krisis pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 ekoran insiden diplomatik yang berlaku di antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 orang Filipina yang sebahagiannya lengkap bersenjata mendarat di Kampung Tanduo pada 11 Februari 2013.
Kumpulan tersebut menggelar diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara dan mendakwa dihantar oleh Jamalul Kiram III – salah seorang dari pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dengan tujuan untuk menuntut kembali wilayah mereka di bahagian timur Sabah (bekas Borneo Utara).
Ekoran itu, Presiden Filipina, Dutarte kemudiannya dilaporkan mahu menubuhkan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula Perlembagaan Filipina tahun 1987 dan mahu mencadangkan Sabah sebagai negeri ke 13 dalam kerajaan persekutuan negara itu.-MalaysiaGazette