BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menafikan berlaku perpecahan dalam partinya ekoran kemungkinan berlaku pertandingan bagi jawatan pimpinan parti itu pada pemilihan tidak lama lagi.
“Tiada perpecahan dalam PKR,” katanya ringkas ketika ditemui selepas melawat Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) hari ini.
Beliau menegaskan PKR mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan parti.
Sebelum itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR melawan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin pula sebelum ini dikhabarkan akan mencuba nasib bertanding jawatan presiden walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menggantikan Wan Azizah pada pemilihan parti ini.
Sebelum ini, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui wujud beberapa kem dalam PKR pada pemilihan parti itu bulan depan.
Namun menurut Zuraida, ia merupakan persaingan sihat mengikut demokrasi yang diamalkan parti itu.
Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapannya berkata, sebanyak 551 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diwujudkan di seluruh negara bagi memberi peluang sama rata kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk berintegrasi dalam masyarakat.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, PDK dilaksana melalui program dan aktiviti pemulihan serta pendidikan untuk golongan tersebut yang dijalankan dalam komuniti.
“Hala tuju kerajaan dalam aspek penjagaan golongan OKU adalah dengan pendekatan program dan perkhidmatan berasaskan komuniti secara mapan dan untuk berkongsi tanggungjawab kesejahteraan OKU antara keluarga, komuniti dan badan bukan kerajaan,”
Pada majlis itu, beliau turut merasmikan Pertandingan Abilimpik Kebangsaan 2018, satu pertandingan kemahiran pekerjaan dan vokasional yang direka khusus untuk golongan OKU.
Pertandingan Abilimpik Kebangsaan 2018 yang berlangsung hari ini dianjurkan bertujuan memilih atlet-atlet OKU terbaik mewakili negara ke Pertandingan Abilimpik Antarabangsa ke-10 di Shanghai, China pada 2020.- MalaysiaGazette