JAKARTA – Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban apabila gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter menggegarkan Pulau Lombok di Indonesia, lapor Reuters.
Gempa bumi yang berlaku pada pukul 6.47 pagi waktu tempatan disusuli dengan satu gegaran kecil berskala 5.4 Richter di kawasan yang sama sejam selepas itu.
Lokasi pusat gempa bumi berada 128 kilometer ke timur laut bandar utama pulau itu, Mataram di kawasan cetek yang mungkin memberi kesan besar, lapor The Independent.
Gempa bumi itu tidak mencetuskan amaran tsunami namun pihak berkuasa mengeluarkan amaran kuning, yang mencadangkan terdapat kemungkina korban.
Gempa bumi berukuran 6.4 skala Richter boleh mengakibatkan kecederaan dan kerosakan bangunan, namun ia bergantung kepada kepadatan penduduk di sesebuah kawasan.
Pada Februari lalu, gempa bumi kuat menggegarkan Taiwan mengakibatkan 17 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi tercedera. – Agensi