KUALA LUMPUR – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris mendesak Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran meminta maaf kepada orang Melayu di negara ini berhubung kenyataannya kaum itu adalah pendatang di negara ini.
Menurut beliau, kenyataan Kula yang menjadi viral di media sosial itu ternyata berbaur hasutan serta menghina bangsa Melayu yang merupakan penduduk asal di nusantara Melayu atau dulunya dikenali sebagai Malay Archipelago.
“Kenyataan Kula itu memperlihatkan pengetahuannya yang jahil tentang sejarah negara. Apatah lagi apabila beliau mengaitkan kedatangan agama hindu di Tanah Melayu sebagai hujah untuk memperlihatkan kononnya Malaysia, dulunya yang dipanggil Tanah Melayu bukan penduduk asal di sini.
“Kenyataan Kula itu jelas berbaur hasutan dan boleh menimbulkan ketegangan di antara kaum di negara ini.
“Saya mendesak agar Kula memohon maaf kepada seluruh orang-orang Melayu di negara ini kerana kenyataannya itu telah dianggap sebagai menghina dan menidakkan ketamadunan Melayu yang tercatat di dalam sejarah selama beribu tahun di nusantara dan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najmil Faiz menambah, kenyataan Kula yang juga Naib Pengerusi DAP itu hanya menambahkan lagi rasa amarah rakyat terutama bangsa Melayu terhadap partinya yang dianggap rasis dan cauvinis selama ini.
“Kenyataan Kula itu seolah-olah mengiyakan segala tanggapan orang Melayu terhadap DAP. Saya juga minta Kula bertanggungjawab di atas kenyataannya itu dan tidak menyalahkan pihak lain kononnya memfitnah beliau.
“Sebagai menteri yang diamanahkan rakyat untul menjaga hal ehwal negara melalui kementeriannya, laksanakanlah tanggungjawab itu. Jangan sibuk dengan hal-hal di luar bidang dan pengetahuannya seperti apa yang dilakukan beliau sekarang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette