Home Nasional Gempa bumi: Kedutaan Malaysia aktifkan bilik gerakan

Gempa bumi: Kedutaan Malaysia aktifkan bilik gerakan

PUTRAJAYA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengaktifkan bilik operasi ekoran gempa bumi dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter yang melanda beberapa kawasan di Lombok, Provinsi Nusa Tenggara Barat, Indonesia pukul 5.47 pagi waktu tempatan, Ahad.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, rakyat Malaysia diminta sentiasa tenang dan mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini.

“Rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Kedutaan menerusi emel [email protected]/ [email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp),” tambah kenyataan itu.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besarnya di Jakarta telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada sekitar Bali, Indonesia bagi memastikan keselamatan mereka ekoran gempa bumi berkenaan.

Tambahnya, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan seorang rakyat Malaysia terkorban manakala enam lagi cedera dalam gempa bumi itu.Kesemua mangsa berada di kaki Gunung Rinjani ketika kejadian.

Tambah Wisma Putra, pihak berkuasa tempatan Indonesia telah menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan proses memberi bantuan kepada mangsa giat dijalankan.

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah menghubungi waris mangsa berhubung kejadian ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menyebut bahawa, setakat ini pihak berkuasa tempatan Indonesia mengesahkan seramai 10 orang meninggal dunia manakala 40 lagi cedera dalam gempa bumi itu.

Sementara itu, koresponden Bernama di Jakarta melaporkan bahawa, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia kini menyelaras tindakan bersama polis Indonesia dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) bagi membantu rakyat Malaysia yang terbabit bencana gempa bumi itu.

Menurut kenyataan kedutaan, semua rakyat Malaysia yang terkandas di Lombok masih dikenalpasti.

“Kedutaan Besar Malaysia kini mengaktifkan Bilik Operasi untuk rakyat Malaysia yang berada di Lombok yang memerlukan bantuan konsular,” kata kenyataan itu.

Seorang rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa itu dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30, bersama 17 warga Malaysia lain dalam program untuk mendaki gunung berapi Rinjani.

Mangsa terkorban akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan, manakala enam lagi turut dilaporkan cedera.

Maklumat lengkap berhubung mangsa dan kumpulan pendaki dari Malaysia itu masih belum diperoleh sepenuhnya dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia juga masih berusaha mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian itu.

Gempa bumi kuat itu menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok menyebabkan penduduk kawasan itu dilaporkan bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa itu terjadi berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km, hingga menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupatan Lombok Utara.

Setakat 2.00 petang ini pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 40 orang dilaporkan cedera parah dan luka ringan manakala 10 orang disahkan meninggal dunia. – Bernama