PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang aduan berkaitan dakwaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menggunakan sekolah untuk berkempen.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, SPR akan melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.
“Siasatan akan dibuat. Walaupun sehingga kini SPR tidak menerima sebarang laporan rasmi dan hanya melihat dakwaan itu melalui laporan media,” katanya pada sidang media mengenai PRK Balakong hari ini.
Sebelum ini tular dalam media sosial gambar calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bersama beberapa individu yang memakai baju t berwarna biru muda disyaki penyokong Pakatan Harapan dilihat oleh orang ramai berada di kawasan sekolah semasa berkempen.
Orang ramai mula mengkritik calon berkenaan sejak penularan gambar itu.
Bagaimanapun Mohd Zawawi menafikan dakwaan itu sambil menjelaskan dia sebenarnya menerima undangan ke Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun untuk merasmikan acara larian murid-murid sekolah.
PRK Sungai Kandis menyaksikan lawan tiga penjuru apabila Zawawi akan bertemu calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Nor Adam dan calon bebas K.Murthy. – MalaysiaGazette