SHAH ALAM – Penampilan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijadualkan pada 1 Ogos ini berkempen di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis bukti Pakatan Harapan (PH) tidak yakin dapat mempertahankan kerusi kali ini.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia merupakan petanda baik kepada BN tatkala PH disifatkannya gagal menunaikan dua daripada 10 manifesto pada pilihan raya umum lalu.
“Itu isyarat yang bagus untuk BN kerana ini jelas membuktikan bahawa mereka tidak yakin untuk menang.
“Ini hari ke-83, kalau kita lihat sepatutnya hari ke-83 daripada 100 hari 10 janji itu sepatutnya lapan sudah ditunaikan tapi masih lagi tidak ditunaikan. Saya rasa dua pun belum,” katanya kepada pemberita di Jalan Kebun hari ini.
Lokman juga menjangkakan Tun M yang juga Pengerusi PH akan membuat pusingan U tentang semua manifesto yang sebelum ini dijanjikan kerana ia di luar kemampuan mereka.
Berdasarkan jadual berkempen PKR, Tun M akan muncul dalam program ceramah di Taman Rakyat Sri Andalas bersama-sama kepimpinan yang lain termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.- MalaysiaGazette