Home Nasional Bayi lelaki berusia 17 bulan di Pulau Pinang mati sebab HFMD

Bayi lelaki berusia 17 bulan di Pulau Pinang mati sebab HFMD

HFMD cases children infectious disease Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dikesan meningkat hampir 50 peratus sepanjang tahun ini setakat semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

NIBONG TEBAL – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kematian seorang bayi lelaki berusia 17 bulan di Pulau Pinang pada 6 Jun lepas disebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata kematian bayi itu adalah kes pertama yang melibatkan penyakit HFMD di negara ini selepas keputusan ujian makmal yang dilakukan terhadap sampel bayi lelaki berkenaan diperoleh.

“Mangsa dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Bayan Lepas dekat sini pada 3 Jun selepas mengalami selesema, sesak nafas dan ulser di dalam mulut, bagaimanapun kondisi kesihatannya merosot dan meninggal dunia tiga hari selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Ujian yang dilakukan oleh pakar mengesahkan bahawa kematian bayi itu disebabkan jangkitan paru-paru akibat komplikasi virus Enterovirus 71 (EV71) yang menyebabkan penyakit HFMD,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis lawatan rasmi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Hospital Sungai Bakap, di sini hari ini.

Sabtu lepas (28 Julai) seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak meninggal dunia dipercayai akibat dijangkiti HFMD selepas mangsa mula mengalami demam pada Selasa dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser di dalam mulut pada keesokan harinya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kematian kanak-kanak itu disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk dengan jangkitan HFMD dan sampel klinikal diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian.

Sementara itu, Dr Lee berkata sehingga kini, terdapat 39,174 kes membabitkan penyakit HFMD direkodkan di seluruh negara sejak Januari manakala bagi Pulau Pinang, sebanyak 2,894 kes direkodkan yang mana berlaku peningkatan sebanyak 116 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Pelbagai langkah menangani penyakit itu giat dijalankan termasuk meminta guru-guru membuat pemeriksaan di depan pintu masuk sekolah. Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan turut membekalkan bahan pencuci untuk membersihkan bilik darjah, alat mainan termasuk meminta kerjasama pihak pasar raya dan pusat beli-belah mencuci troli serta pusat mainan kanak-kanak,” katanya.

HFMD adalah penyakit disebabkan oleh virus dan gejala penyakit ini adalah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.- BERNAMA