Home Nasional RUU mansuh GST untuk bacaan kali pertama dibentang

RUU mansuh GST untuk bacaan kali pertama dibentang

Seorang pengunjung mencuba barangan kemas berikutan bermulanya 1 Jun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar seperti yang diumumkan kerajaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Habib Jewels, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 (SST)  untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Kedua-dua RUU ini akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang juga akan membentangkan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) 2018 serta RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018.

Mengikut syarat, RUU GST perlu dimansuhkan terlebih dahulu seperti yang termaktub dalam manifesto janji 100 hari oleh kerajaan diterajui oleh PH sebelum membentangkan RUU yang baharu.

Sebanyak 10 Fasal dibentangkan di bawah RUU berkenaan yang turut memperuntukkan apa-apa liabiliti yang ditanggung boleh dikuatkuasakan atau apa-apa barang dan perkhidmatan yang genap masa, terlebih bayar serta terkhilaf boleh dipungut, dibayar balik atau diremitkan di bawah akta yang dimansuhkan seolah akta yang dimansuhkan itu tidak dimansuhkan.

RUU Kastam (Pindaan) 2018 pula berkait prosedur percukaian yang mana Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap proses percukaian tersebut.

Bacaan kali kedua dan perbahasan kesemua RUU tersebut dijangka pada 7 Ogos depan.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), gandingan PH telah berjanji untuk memansuhkan cukai GST yang dianggap antara punca kekalahan besar kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN).

GST ini akan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September depan.

PH mencadangkan cukai jualan pada kadar lima peratus dan 10 peratus ke atas barangan terpilih, manakala enam peratus untuk cukai perkhidmatan bagi menggantikan enam peratus GST.– Malaysia Gazette