KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan satu jawatankuasa dalaman bagi mengenal pasti tindakan yang boleh dikenakan terhadap pegawal kawalan trafik yang melanggar prosedur pada hari kejadian kehilangan pesawat MH370.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jawatankuasa itu akan ketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.
Jawatankuasa dalaman itu dibentuk susulan Laporan Penyiasatan Keselamatan MH370 mendapati pegawai kawalan trafik udara tidak menepati prosedur operasi standard (SOP).
“Siasatan ini nanti untuk mengenal pasti tindakan yang akan diambik terhadap pegawal trafik yang bertanggungjawab,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Loke yang mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman yang merupakan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan (DCA) ketika insiden kehilangan MH370 berlaku bukan bermakna beliau bersalah.
“Beliau didapati tidak bersalah tetapi selepas laporan keluar, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan,” tambah beliau.
Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines hilang pada 8 Mac 2014 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Ketika kejadian ia membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Usaha mencari pesawat itu di Lautan Hindi gagal menemui sebarang kesan dan kehilangannya masih menjadi misteri dalam sejarah penerbangan. – MalaysiaGazette