Home Nasional Lagi kecaman terhadap Kula Segaran

Lagi kecaman terhadap Kula Segaran

M. Kulasegaran.
M. Kula Segaran.

KUALA LUMPUR – Biar pun sudah memohon maaf terhadap kenyataan orang Melayu sebagai pendatang, namun Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran terus menerima kecaman demi kecaman.

Kali ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Seri Gading, Mohamad Najib Samuri menyifatkan kenyataan Menteri Sumber Manusia itu sebagai dangkal.

“Kenyataan yang dikeluarkan Kula Segaran terhadap isu ini sangat dangkal memandangkan ia bertentangan dengan dengan fakta sejarah yang sudah sekian lama tercatat terutama mengenai Lembah Bujang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan Kula Segaran perlu merujuk hasil kajian arkeologi mengenai sejarah Lembah Bujang yang membuktikan kewujudan kerajaan dan wilayah Melayu awal di Malaysia.

Rujukan sedemikian penting bagi membolehkan menteri itu lebih memahami dan mendapat fakta yang tepat mengenai kewujudan masyarakat Melayu di rantau ini.

Menerusi catitan sejarah, kawasan Lembah Bujang pernah dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua yang bermula dengan pembukaan penempatan di Lembah Bujang.

“Rekod penemuan arkeologi juga mendapati Lembah Bujang satu masa dulu turut menjadi wilayah serta kawasan perdagangan yang maju sehingga berjaya menarik pedagang dari seluruh dunia termasuk dari eropah, arab dan China,” tambah beliau.

Sementara itu, Najib Samuri bersama badan bukan kerajaan (NGO), vateran dan Pemuda UMNO hari ini tampil membuat laporan polis menggesa supaya Kulasegaran disiasat.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan turut dihadiri kira-kira 30 penyokongnya.

Najib Samuri berkata, kenyataan Kulase Segaran mendakwa Melayu sebagai pendatang seperti dilapor media sehingga tular di media sosial tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang individu bertaraf jemaah Kabinet.

“Kenyataan seumpama ini tidak seharusnya dikeluarkan mana-mana individu tanpa mengira agama, bangsa mahupun warna kulit kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya siasatan segera tidak diambil, dibimbangi akan mencetuskan keadaan tidak tenteram sekali gus menggugat kesepaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kita turut mendesak supaya beliau letak jawatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette