KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada 1,784.25, meningkat 0.79 peratus atau 13.99 mata berbanding 1,770.26 pada penutupan Isnin, didorong oleh minat belian saham-saham mewah, diketuai Tenaga, kata peniaga.
Indeks itu dibuka 2.03 mata lebih rendah pada 1,768.23 dan bergerak antara 1,764.21 dan 1,784.25 sepanjang hari.
Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, tidak banyak perbezaan antara kaunter rugi dan untung, dengan kaunter rugi sebanyak 479 berbanding 438 kaunter untung, manakala 418 kaunter tidak berubah, 592 tidak diniagakan dan 68 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.71 bilion unit bernilai RM3.05 bilion berbanding 2.19 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Isnin.
Tenaga, yang merupakan syarikat berkaitan Khazanah Nasional Bhd, mencatat keuntungan tertinggi, apabila meningkat 54 sen kepada RM15.68.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata cara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menangani peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd, menimbulkan keyakinan dalam kalangan pelabur terhadap dana kekayaan negara itu.
“Tindakan proaktif Tun Mahathir melantik ahli lembaga pengarah yang baharu dijangka memberikan arah perniagaan dan operasi yang jelas bagi dana kekayaan,” katanya kepada Bernama.
Saham lain berkaitan Khazanah menyaksikan tindak balas bercampur-campur. CIMB tidak berubah pada RM5.84, IHH turun lima sen kepada RM5.91, Axiata meningkat lima sen kepada RM4.39 dan TM meningkat tiga sen kepada RM3.97.
Di luar negara, Nazri Khan berkata keputusan Bank of Japan mengekalkan kadar faedah rendah bagi tempoh yang lebih panjang, selepas mesyuarat dasar bank itu hari ini, menunjukkan lebih banyak program rangsangan dan dasar yang lebih fleksible akan diambil oleh bank pusat terbesar itu.
“Ini juga akan membantu mengurangkan tekanan pasaran ke atas kenaikan kadar faedah, serta, mengurangkan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China,” kata Nazri Khan.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.81, Public Bank menambah empat sen kepada RM24.06, Petronas Chemicals menokok lapan sen kepada RM8.93 manakala Maxis menambah 16 sen kepada RM5.79.
Antara saham aktif, MYEG meningkat 10 sen kepada RM1.24, Cuscapi menambah tiga sen kepada 31.5 sen manakala Sapura Energy susut setengah sen kepada 60.5 sen.
Kaunter lain yang mencatat keuntungan termasuk HLFG yang meningkat 28 sen kepada RM18.08, Chin Teck naik 25 sen pada RM7.50 dan Far East menokok 22 sen kepada RM12.20.
Saham utama yang mencatat kerugian termasuk DLady yang menyusut 86 sen kepada RM66.90, Petronas Gas turun 38 sen kepada RM18.74 dan BAT merosot 28 sen kepada RM34.28
Indeks FBM Emas menambah 75.06 mata kepada 12,633.15, Indeks FBMT 100 meningkat 79.22 mata kepada 12,420.10 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 115.40 mata kepada 12,810.75.
Indeks FBM Ace bagaimanapun merosot 39.36 mata kepada 5,400.26, namun FBM 70 naik 31.18 mata kepada 15,515.94.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 57.90 mata kepada 7,629.22, Indeks Perusahaan merosot 8.06 mata kepada 3,275.76 dan Indeks Kewangan susut 11.85 mata kepada 17,429.83.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.52 bilion saham bernilai RM2.85 bilion berbanding 1.42 bilion saham bernilai RM1.81 bilion, yang dicatatkan pada Isnin.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 452.51 juta unit bernilai RM110.58 juta berbanding 491.31 juta unit bernilai RM138.73 juta pada Isnin.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 734.87 juta saham bernilai RM80.78 juta berbanding 279.50 juta saham bernilai RM81.65 juta yang diurus niaga semalam.
Barangan pengguna menyumbang sejumlah 122.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (206.35 juta), pembinaan (145.22 juta), perdagangan dan perkhidmatan (582.38 juta), teknologi (149.40 juta), infrastruktur (27.02 juta), SPAC (303,600) , kewangan (91.55 juta), hotel (286,900), hartanah (144.71 juta), perladangan (41.89 juta), perlombongan (sifar), REIT (11.86 juta) dan dana tertutup (42,000). – Bernama