Home Seni Hidup YKAT ziarah pelakon era P. Ramlee

YKAT ziarah pelakon era P. Ramlee

KOTA BHARU, 31 Julai -- Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave (kiri) mendengar cerita pelakon tambahan filem Ali Baba Bujang Lapok Abdul Kadir, 75, (tengah) semasa melawat dan menyampaikan bantuan kepada beliau di rumahnya di Kedai Lalat hari ini. Turut hadir Anggota Pemegang Amanah YKAT Datuk Jamaluddin Elias atau Nash (kanan) --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) meneruskan khidmat sosialnya dengan menziarahi pelakon tambahan veteran yang uzur, Abdul Kadir Mamat, 77, di Kampung Kedai Lalat di sini, hari ini.

Pengerusinya Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali dengan DJ Dave berkata lawatannya itu bagi memberi semangat dan menghargai sumbangan Abdul Kadir dalam bidang seni.

“Pihak yayasan sentiasa prihatin dan turun padang menemui artis yang berdepan dugaan hidup termasuk yang mengalami masalah kesihatan. Kami harap kedatangan kami ini akan memberi semangat untuk Pak Dir (Abdul Kadir) segera sembuh,” katanya kepada pemberita di kediaman Abdul Kadir hari ini.

DJ Dave yang turut ditemani penyanyi Datuk Nash turut menyampaikan sumbangan wang kepada Abdul Kadir.

Beliau turut mendendangkan lagu pertamanya yang berjudul “Ku Tak Ingin Menangis Lagi” bagi menghiburkan dan memenuhi permintaan Abdul Kadir.-BERNAMA