
KUALA LUMPUR – Polis mengesan sindiket dadah menggunakan sebanyak 30 jenis jenama terkemuka minuman kegunaan harian yang dipaket semula dengan empat jenis dadah diedar di pusat hiburan dan parti liar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, penemuan itu dikesan susulan hasil serbuan operasi yang dilakukan sejak tahun 2016.
Beliau bimbangmodus operandi baharu berkenaan yang dikesan diguna pakai sindiket dadah itu mungkin akan berleluasa ke sekolah dan kilang jika tidak bertindak dari sekarang.
“Kegiatan demikian rupa didalangi warga tempatan, takut menular ke premis tumpuan orang awam dan masyarakat biasa pelbagai peringkat umur yang membeli produk itu.
“Hasil serbuan kita ke tempat tempat hiburan dan parti liar ini banyak melibatkan pengguna dan pengunjung peringkat umur remaja.
“Saya sedang mengumpul statistik tentang mereka yang pernah ditangkap sebelum ini dalam kegiatan terbabit,” katanya dalam sidang media khas kejayaan Narkotik di Bukit Aman.
Tambah beliau, pelbagai teknik digunakan dalam pengedaran dan penggunaan dadah dengan dibawa dalam pelbagai bentuk iaitu cecair, serbuk dan ada kalanya dalam bentuk pil.
“Sindiket itu membuka minuman harian itu dan mencampurkan empat jenis dadah iaitu syabu, ketamin, ekstasi dan Eramin 5 sebelum dipaket semula tanpa sebarang ragu-ragu.
“Ini modus operandi baharu sindiket itu untuk mengedar dan melariskan jualan dadah secara senyap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau meminta para ibu bapa serta orang awam supaya menyemak beberapa kali produk minuman yang dibeli terutama di bahagian penutup.
“Ini yang kami risaukan, takut suatu hari nanti ia berisiko berleluasa ke sekolah dan kawasan kilang dan saya pasti ia boleh berlaku,” jelas beliau.
Ditanya sama ada pengeluar dan pengilang 30 produk berkenaan sedar atau tidak mengenai unsur dadah itu, beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa tiba masanya polis berbincang dengan pihak mereka supaya lebih berhati hati.
“Mungkin mereka (pengeluar) mereka boleh menukar reka bantuk dan warna botol atau kaedah ‘seal’ produk itu diubah segera adalah terserah kepada mereka.
“Dalam masa terdekat ini pihak narkotik akan mengadakan sidang media khas mendedahkan isu ini secara lebih terperinci siap dengan statistik lengkap.
“Ketika ini pihak kami masih menyiasat secara mendalam sejauh mana penggunaan dan perluasan minuman disyaki dicampuri dadah itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette