AMPANG – Datuk Seri Jamal Yunos berhasrat untuk turun ke Sungai Kandis esok bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung Ahad ini.
Bercakap kepada media di rumahnya malam ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, beberapa perkara penting akan disampaikan kepada pengundi di kawasan berkenaan terutamanya isu-isu yang berkaitan kerajaan baharu hari ini.
Katanya, banyak maklum balas yang diterima khususnya melibatkan golongan muda yang merasa kesal kerana telah tersilap dalam percaturan ketika memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Ramai yang mengadu dan merungut kerana tersalah membuat pilihan pada PRU yang lepas.
“Perkara ini akan saya sampaikan kepada pengundi-pengundi di Sungai Kandis agar mereka menelitinya betul-betul,” katanya.
Jamal berkata, beliau tidak mahu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut membuat pilihan salah sebagaimana yang telah berlaku pada PRU lalu.
Sementara itu, katanya, langkah tersebut (turun ke Sungai Kandis) dibuat selepas beliau percaya dirinya masih mempunyai pengaruh yang kuat di dalam UMNO Selangor ekoran kemenangannya sebagai ketua UMNO di kawasannya pada pemilihan parti yang lalu.
Meskipun, namanya tidak terpilih untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia namun, katanya beliau yakin dirinya diterima anggota parti di semua peringkat.
Pada pemilihan UMNO lalu, Jamal menamakan dirinya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Bagaimanapun, keputusan pemilihan memihak kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bertanding jawatan sama. – MalaysiaGazette