Home Utama Gaji minimum diwarta bulan ini

Gaji minimum diwarta bulan ini

Kula Segaran

KUALA LUMPUR – Satu perintah mengenai kadar gaji minimum baharu akan diwartakan pada bulan ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran yang memberitahu, langkah itu selaras dengan janji yang terkandung didalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, kadar gaji minimum itu turut disertakan dengan kajian setiap dua tahun.

“Kami harap had gaji minimum dapat dinaikkan sehingga RM1,500 menjelang satu penggal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Kula Segaran menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN- Rompin) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu Kula Segaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara selesai menjalankan kajian semula kadar gaji minimum dan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Katanya, ketika ini masih terlalu awal untuk melihat kesan pelaksanaan gaji minimum.

“Selepas kedudukan kewangan pulih, kerajaan yakin pelbagai inisiatif dapat dilakukan untuk menaikkan pendapatan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette