Home Nasional Syed Saddiq tak beradab, Mazslee tak bertanggungjawab

Syed Saddiq tak beradab, Mazslee tak bertanggungjawab

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media sambil diiringi Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan (kiri) selepas selesai mempegerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2018
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media sambil diiringi Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan (kiri) selepas selesai mempegerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2018

KUALA LUMPUR  – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak beradap kerana mendakwa persatuan-persatuan bukan kerajaan belia sebagai macai politik. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Ashraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan tersebut tidak melambangkan keperibadian seorang menteri. 

“Saya rasa ini tuduhan, kata-kata yang amat tidak bertanggungjawab keluar dari seorang yang seharusnya bersifat negarawan.

“Tetapi takkanlah baru dua bulan menjadi kerajaan terus melontarkan kata-kata yang hakikatnya bagi saya adalah tidak bertanggungjawab dan tidak bersifat ahli Parlimen yang beradab dan mempunyai nilai moral yang tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat sayap parti itu. 

Syed Saddiq dalam Dewan Rakyat hari ini menyifatkan persatuan belia seperti macai politik.

Kata Ashraf, Pakatan Harapan perlu mengotakan janji yang diperjuangkan sebelum ini tentang kebebasan bersuara yang sepatutnya diberikan kepada generasi muda. 

“Sebagai seorang menteri seharusnya melibat di luar kepompong kepartian dan NGO-NGO atau pertubuhan-pertubuhan belia daripada dulu lagi mereka adalah mewakili suara belia, anak muda.

“Ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang dulu pun sentiasa mengutara soal budaya politik yang berteraskan kebebasan bersuara, menghormati perbezaan pandangan, menghormati hak anak-anak muda bersuara menyatakan pandangan,” katanya yang melihat NGO belia turut memberi sumbangan kepada negara. 

Dalam pada itu Ashraf turut menempelak tindakan Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik yang menganggap wujud naib-naib canselor di institut pengajian awam sebagai mata-mata Barisan Nasional (BN). 

Tambahnya, tuduhan itu merupakan tuduhan kepada golongan pendidikan yang bercanggah dengan dakwaan sebelum ini bahawa BN mengekang kebebasan akademik.

“Saya rasa ini tidak adil kerana bagi saya kerajaan Pakatan Harapan harus mengotakan janji-janji mereka waktu berkempen nak memastikan kuasa autonomi, kuasa universiti sebagai institusi yang kekal bebas dari segi pandangan mereka, tindakan mereka, penyelidikan pengkajian ataupun apa pun suara tidak boleh ada sebarang campur tangan politik. 

“Itu perjuangan mereka dulu yang kononnya mereka mendakwa kerajaan BN banyak mengekang suara-suara ini

“Jadi saya melihat apa yang berlaku kebelakangan ini bertentangan dengan apa yang mereka suarakan.

“Kalau dia mengatakan dan menuduh sedemikian rupa dan mendesak naib-naib canselor meletakkan jawatan dan mendakwa merupakan ejen-ejen pembangkang saya rasa itu satu tuduhan yang amat berat dan tidak wajar datang dari seorang menteri yang harus meletakkan nilai pendidikan di tahap tertinggi,” jelas beliau.

Mazslee ujar Ashraf, perlu menjalankan tugas dengan lebih profesional. 

“Dah la perjuangan menteri setakat ini dilihat perjuangan yang tukar kasut putih ke kasut hitam.

“Beliau harus mengambil kesempatan dalam masa yang ada untuk tidak hanya menghukum dan melabel golongan cendikiawan, golongan pendidikan di pusat-pusat pengajian tinggi,” kata Ashraf. -MalaysiaGazette