KLANG – Pas dan Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa tolong-menolong dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mencari formula menjatuhkan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Tambahnya, BN berlapang dada untk membantu Pas jika bertanding pada bila-bila namun parti itu juga perlulah menghulurkan bantuan kepada BN demi mengalahkan Pakatan Harapan.
“Sekali-sekala kita bertanding, Pas sokong, sekali sekala Pas bertanding, BN pula sokong.
“Kita uji formula-formula politik yang baharu sebelum sampai pilihan raya ke-15 sehingga kita terjumpa bagaimana kita nak jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Ceramah Rakyat bertajuk ‘Janji Manismu’ di Taman Sri Andalas pada Khamis.
Setiap PRK, tambah Annuar, merupakan persediaan buat BN dan Pas untuk menggulingkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Annuar berkata, Pakatan Harapan Bukan sahaja gagal melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan malah Pakatan Harapan juga tidak mampu menjadi gabungan yang padu apabila mempunyai masalah dalaman.
“Sekarang ini gabungan empat Pakatan Harapan ini sedang bergolak sesama mereka.
“Tun M keluar kata-kata kepada orang kanannya bahawa dia tidak tahan dengan tekanan-tekanan tuntutan-tuntutan parti DAP.
“Dr M (Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad) berkata pada sidang akhbar menyatakan payah sebab dalam DAP ini ramai sangat fahaman sosialis yang kalau boleh semua benda (perkara) nak disamaratakan.
“Anwar pula sudah pening dengan anak buahnya tidak dengar katanya tetapi ambil arahan daripada Mahathir. Itu dalaman, sedangkan prestasi untuk rakyat belum ada apa-apa lagi,” tambah Annuar. -MalaysiaGazette