SHAH ALAM – Rakyat Selangor bakal dihadiahkan kenaikan tarif air tidak lama lagi apabila Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar telah mengemukakan cadangan itu baru-baru ini.
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, rakyat bukan saja ditipu dengan 10 janji dalam tempoh 100 hari, sebaliknya bakal dibebankan dengan kenaikan tarif air.
Katanya, janji pemberian air percuma oleh kerajaan Selangor hanya dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi selepas beliau dijatuhkan dalam ‘Langkah Kajang’, kemudahan itu tidak lagi disediakan oleh kepimpinan baharu.
“Saya tidak terkejut dengan cadangan itu kerana di Pulau Pinang, selepas DAP mengambil alihnya pada tahun 2008, mereka menaikkan tarif air beberapa kali ganda.
“Selepas PRU14, beberapa negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) juga akan menyaksikan kenaikan tarif air. Itulah pembalasan yang rakyat dapat selepas memberi kemenangan kepada PH,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kenyataan kepada media 28 Julai lalu, Dr Xavier yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, sekarang ditukar nama kepada DUN Sungai Kandis, dilaporkan berkata, peningkatan tarif air di Selangor dijangka tidak dapat dielakkan selepas kerajaan negeri melakukan penstrukturan semula pengurusan air bulan depan.
Kata beliau, langkah itu adalah kaedah terbaik bagi Syarikat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) membayar balik kepada Pengursan Aset Air Berhad (PAAB) bagi menyelesaikan proses pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash).
Jelas Lokman lagi, hari ini rakyat baru tahu kesannya selepas memberi kemenangan kepada PH sehingga mereka terpaksa berdepan dengan kenaikan kadar tarif bekalan air di Selangor. – MalaysiaGazette