Home Nasional Tidak perlu hantar pulang Duta Korea Utara – Dr Chandra

Tidak perlu hantar pulang Duta Korea Utara – Dr Chandra

Kang Chol

KUALA LUMPUR – Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr Chandra Muzaffar menyifatkan tindakan Duta Korea Utara ke Malaysia sudah melanggar norma etika seorang diplomat kerana menghentam kerajaan Malaysia berhubung siasatan kes bunuh warganya, Kim Jong-nam.

Khairul Azhar Harun (lima kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil daripada Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 23 Februari 2017.
Khairul Azhar Harun (lima kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil  kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 23 Februari 2017.

Beliau mengulas kenyataan Duta Besar Korea Utara Kang Chol yang mempersoalkan siasatan dijalankan pihak berkuasa dan terus menuduh perkara bukan-bukan dengan mendakwa Malaysia berbohong dalam siasatan pembunuhan warganya itu.

“Dari satu segi, duta ini sudah melakukan benda-benda bertentangan etika diplomat, kenyataannya dan mengecam kerajaan Malaysia dan sebagainya,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Namun, Dr Chandra menegaskan perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk Malaysia menghantar duta tersebut pulang memandangkan siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa masih memerlukan kerjasamanya untuk merungkai cerita sebenar kes pembunuhan tersebut.

“Tapi jika kita hantar dia balik, mungkin Korea Utara tidak akan bekerjasama dalam siasatan ini.

“Kita perlu kerjasama Korea Utara dalam siasatan ini, baru kita boleh mengenal pasti apa yang benar-benar berlaku, siapa yang bertanggungjawabdan apa motifnya dan sebagainya. Kalau Korea Utara ambil keputusan tidak mahu bekerjasama kita tidak dapat menjalankan siasatan kita,” terang beliau.

Selain itu, Dr Chandra juga mengingatkan imuniti yang dimiliki seseorang pegawai diplomatik dan Malaysia perlu berhati-hati dalam keputusan yang ingin diambil bagi memastikan siasatan dalam kes pembunuhan itu tidak terjejas.

“Kita perlu pegawai dari kedutaannya dan kita tahu bahawa duta-duta mereka ini ada imuniti, kekebalan dari segi diplomasi dan sekiranya kita mengambil tindakan terhadap duta dia atau kita melakukan sesuatu mungkin dia tidak akan bekerjasama langsung dan dia tidak benarkan polis kita siasat diplomat mereka yang mungkin terlibat,” ujarnya.

Oleh sedemikian, Dr Chandra berkata tindakan menghantar pulang Duta Korea Utara bukan satu langkah bijak kerana ia akan menyukarkan lagi siasatan kes tersebut.

“Kita kena berhati-hati kerana kita mahu cari penyelesaian dan memastikan serta menentukan bahawa keadilan itu berlaku, itu kita punya matlamat.

“Jika kita hantar balik diplomat iaitu Duta Besar, bermakna usaha kita untuk selesaikan dan keadilan itu berlaku dlm kes ini mungkin lebih sukar,” katanya.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Feb untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila sejam kemudian dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun.

Jong-nam telah meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dibawa ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Feb dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol. – MalaysiaGazette