KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan beliau seorang ditaktor kerana tidak ada ditaktor yang melepaskan jawatannya.
Sebaliknya, katanya, beliau dipilih sebanyak lima kali oleh rakyat.
“Saya bukan ditaktor, saya dipilih lima kali oleh rakyat dan ditaktor tidak pernah meletak jawatan,” katanya dalam wawancara bersama CNN.
Sepanjang 22 tahun berada dalam kerajaan, Mahathir mengakui gembira kerana diberi peluang berkhidmat.
“Ia bukan gaji yang anda dapat, ia adalah kepuasan. Saya mengembara di banyak negara dan ada negara yang begitu baik, mengapa tidak Malaysia?
“Ia soal menganalisis aset, liabiliti, keadaan dan kemudiannya melakukan pembaharuan yang menyumbang ke arah kemajuan negara ini,” katanya.
Mahathir berkata, semasa meletakkan jawatan secara sukarela, beliau hanya mahu berehat bersama keluarga dan berlayar.
Malangnya, ketika beliau melepaskan jawatan, penggantinya memutuskan untuk melakukan perubahan termasuk mengadaptasi dasar baharu dan sebagainya.
Pengganti-penggantinya, dakwa Mahathir telah menolak apa yang beliau telah mulakan.
“Jadi, ramai orang berasa tidak senang. Mereka semua datang berjumpa dengan saya, bertanya kepada saya “Tolong, buat sesuatu, tolong lakukan sesuatu,” tambahnya.
Mahathir mengakui sepanjang pemerintahannya bukan semua perubahan mampu dilakukannya kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum.
“Negara ini adalah negara berbilang kaum. Anda tidak boleh mengubahnya dan itu adalah sesuatu yang saya cuba lakukan kerana saya tidak suka perbezaan antara kaya dan miskin, di antara kaum akan menjejaskan kestabilan negara.
“Saya cuba memastikan ketidaksamaan ini dapat dikurangkan supaya semua kaum menikmati kekayaan negara ini bersama-sama. Saya mempunyai sedikit kejayaan tetapi pada umumnya saya gagal.
“Saya berharap saya telah melakukan lebih banyak, tetapi anda tahu, anda tidak boleh mengubah cara hidup, budaya, pemikiran dan semua orang dalam sekelip mata. Saya akan cuba lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette