LONDON – Bintang Sayap Chelsea, Pedro Rodriguez menandatangani kontrak baharu untuk terus kekal di Stamford Bridge semalam.
Laporan di England mendakwa pemain itu telah menyambung kontrak sehingga 2020 dan ia disahkan kelab itu.
Bekas pemain Sepanyol itu berhijrah ke England pada tahun 2015 dari Barcelona dengan yuran berjumlah 21 juta pound.
Sejak itu, Pedro menjadi antara penyerang terbaik kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pedro menjaringkan 28 gol dalam 131 penampilan bersama the Blues.
Pedro menyatakan kegembiraan selepas menandatangani kontrak baharu dibawah Jurulatih baharu Maurizio Sarri.
“Ia sangat penting untuk saya meneruskan legasi bersama Chelsea.
“Saya sangat selesa di sini dan bersedia untuk menambah koleksi piala di masa akan datang.
“Saya mahu membantu Chelsea menjaringkan gol dan menjulang piala,” katanya dalam laman web rasmi Chelsea semalam.
Kontrak asal Pedro sah sehingga 2019 dan penyambungan selama setahun lagi sehingga 2020 dianggap sangat bermakna oleh pengarah kelab itu marina Granovskaia.
“Sejak menyertai Chelsea, Pedro mempamerkan kemahirannya di atas padang dalam setiap perlawanan dan kami ingin lihat ke hadapan supaya pemain itu terus menyerlah dibawah bimbingan Sarri,” katanya.
Sementara itu masa depan N’Golo kante dan Willian masih dipersoal di kelab itu kerana kedua dua mereka masih belum diberi sebarang jaminan oleh Sarri.- MalaysiaGazette