KUALA LUMPURĀ – Pimpinan UMNO perlu menyedari bahawa parti Melayu itu masih ditolak oleh rakyat seperti mana yang diterjemahkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee menegaskan, parti Melayu itu hanya menyerlahkan kelemahannya sepanjang kempen apabila bermain isu perkauman bagi menarik sokongan pengundi.
“Realitinya UMNO masih ditolak oleh rakyat dalam PRK Sg. Kandis walaupun ada pihak merumuskan pelbagai alasan dan andaian untuk mewajarkan parti orang Melayu itu kononnya masih lagi kuat dan relevan.
“Apa pun telahan dan analisisnya, dalam mana-mana pertandingan, biarpun kalah hanya dengan satu undi tetap akan dianggap sebagai gagal untuk menang dan kekal di pihak kecundang.
“UMNO masih lagi berlegar-legar dengan isu yang dianggap rasis dan melangkau citarasa pengundi tempatan. Di sini sebenanya kita melopongkan kelemahan ketara,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.
PRK Sungai Kandis diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 2 Julai lalu.
Dalam PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni meraih 15,427 undi dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi).
Peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Kandis mencatatkan jumlah kedua paling sedikit dalam sejarah PRK apabila hanya 50.31 peratus bilangan pengundi keluar dicatatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hanya 25,765 orang daripada 51,217 pemilih berdaftar keluar mengundi sebaik sahaja tempoh mengundi ditutup pada pukul 5.30 petang, 4 Ogos lalu.
Syed Ali berkata, beliau optimis UMNO akan bangun semula dan mengambil iktibar daripada PRK Sungai Kandis bahawa kerjasama parti Melayu itu dengan Pas tidak menguntungkan mana-mana pihak.
“UMNO perlu ambil iktibar bahawa pakatan strategik dengan Pas tidak menguntungkan UMNO kerana parti itu hanya melihat sejauh mana laba politik yang mampu diraih untuk kepentingan kabilah mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette