Home Politik William sedia jadi ‘kambing hitam’ demi Anwar?

William sedia jadi ‘kambing hitam’ demi Anwar?

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan menawarkan kerusi tersebut kepada Ketua Umum PKR itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan menawarkan kerusi tersebut kepada Ketua Umum PKR itu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Selayang, William Leong sedia menjadi ‘kambing hitam’ bagi mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk memberi laluan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Beliau menegaskan, bukan hanya dirinya sahaja malah semua 51 Ahli Parlimen PKR juga sedia memberi laluan kepada Anwar.

“Bukan soal ‘kambing hitam’ atau apa, kita tahu Anwar menjadi mangsa politik. Kalau beri beliau bertanding pun, masih di bawah bendera parti yang sama. Tiada isu rakyat jadi mangsa atau siapa jadi ‘kambing hitam’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada sedia berkorban selepas timbul khabar angin calon Naib Presiden PKR itu akan mengosongkan kerusi Parlimen Selayang bagi memberi peluang kepada Anwar yang dipilih Presiden PKR baharu selepas beliau menang tanpa bertanding semalam.

Mengulas lanjut, William bagaimanapun menjelaskan belum ada perbincangan diadakan bagi menentukan kerusi parlimen yang akan ditandingi Anwar.

“Tidak ada perbincangan lagi. Itu semua khabar angin sahaja. Saya tidak tahu dari mana datang khabar angin itu,” katanya.

Ditanya kesediaan melepaskan kerusi parlimennya, William berkata, semua 51 Ahli Parlimen PKR pasti bersetuju untuk beri laluan kepada Anwar bertanding.

Pagi ini, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuan mereka, Nurul Izzah mengesahkan tidak berhasrat melepaskan kerusi Parlimen Pandan dan Permatang Pauh.

Ketua Umum PKR menggantikan isterinya yang juga Timbalan Perdana Penteri yang tidak mempertahankan jawatan presiden PKR pada pemilihan parti kali ini. – MalaysiaGazette