Home Nasional RM7.4 juta perbelanjaan Iksim tidak dapat dikesan

RM7.4 juta perbelanjaan Iksim tidak dapat dikesan

Dr Mujahid Yusof Rawa
Dr Mujahid Yusof Rawa

 

KUALA LUMPUR – Laporan audit yang dijalankan ke atas Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) mendapati perbelanjaan berjumlah RM7.4 tidak dapat dikesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, faktor itu merupakan salah satu sebab mengapa kerajaan membekukan peruntukan kepada institut itu.

Beliau memberitahu, jumlah itu merupakan sebahagian jumlah dana RM7.6 juta yang diterima Iksim selama ini.

“Sebanyak RM7.4 juta tidak dapat dikesan. Maknanya kami tidak dapat dokumen bukti ke mana wang itu dibelanjakan.

“Kita perlu tahu di mana mereka belanjakan wang itu, bagaimana mereka belanjakan, bukti perbelanjaan tidak ada, ini perbelanjaan besar.

“Bukan jumlah kecil bagi satu institut yang menamakan diri mereka institut kajian Islam,” katanya ketika ditemui pihak media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mujahid menambah, kepincangan itu harus didedahkan kerana mereka yang bertanggungjawab mengendalikan Iksim ini telah menyalahguna kuasa dan pentadbiran kewangan.

“Saya sudah mengambil keputusan untuk membekukan dan melihat proses pemulihan yang perlu kita lakukan.

“”Yang boleh kami kesan hanya RM0.2 juta sahaja yang ada resit dan bukti transaksi. Selain daripada itu tak tahu di mana ia dibelanjakan,” katanya.

Bagaimanapun, Mujahid berkata pihaknya akan melihat untuk melakukan proses pemulihan institut tersebut.

“Kita buat keputusan, semua gaji pekerja yang tertunggak akan diselesaikan seberapa segera. Tidak timbul isu kami abaikan pekerja.

“Saya harap penjelasan ini dapat meredakan semua pihak yang kononnya kami di Jabatan Perdana Menteri menzalimi pekerja Iksim,” katanya. – MalaysiaGazette