Home Nasional Wakil rakyat terus kecoh, buang masa dalam Dewan Rakyat

Wakil rakyat terus kecoh, buang masa dalam Dewan Rakyat

Bung Moktar Radin
Bung Mokhtar Radin

KUALA LUMPUR – Isu penggunaan perkataan ‘F*** You’ terus diperdebatkan dan hangat dengan segelintir wakil rakyat mahu Ahli Parlimen Kinabatangan menarik balik perkataan kesat itu dan dihalau keluar Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturi Patoo (PH-DAP) memohon tindakan tegas segera diambil oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon kerana penggunaan perkataan kurang sopan, selain melakukan provokasi tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

“Menggunakan perkataan seumpama itu sebenarnya biadap. Tidak perlu gunakan alasan provokasi untuk mengeluarkan perkataan-perkataan seperti itu walau besar mana sekalipun provokasi itu,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang (PH-PKR) mendesak supaya ahli Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN) diperintah keluar dewan agar memberi pengajaran kepada wakil rakyat lain.

“Kinabatangan telah keluarkan perkataan bukan sahaja biadap tetapi kesat dan tidak bersopan. Saya minta beliau dikeluarkan daripada dewan yang mulia ini demi menjaga kemuliaan serta martabat tempat ini,” tegasnya.

Rashid Hasnon kemudian meminta Bung Mokhtar untuk menarik kembali perkataan tersebut.

“Perkataan ‘four letter words’ ini perlu ditarik balik. Saya minta Kinabatangan tarik balik,” arahnya.

Bagaimanapun, keputusan Rashid Hasnon terus mendapat bantahan daripada wakil rakyat yang ternyata tidak berpuas hati kerana ‘hukuman’ itu disifatkan ringan.

Bung Mokhtar kemudian bangkit apabila diminta tarik balik dan sekali lagi mengeluarkan kenyataan provokasi yang kemudian menggamatkan semula dewan.

“Puncak Borneo (Willie Mongin) duduk minum dengan pelacur,” ujarnya.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (BN)  pula bangkit meminta Willie juga menarik balik sebarang kenyataan yang bersifat peribadi.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin (PH-DAP) terus menggesa Bung Mokhtar dikeluarkan dari Dewan Rakyat.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said, ahli Parlimen Kuala Krau (BN) pula meminta Speaker supaya turut meminta Wilie menarik balik kenyataan awal beliau memandangkan kenyataan itu telah mendorong provokasi sehingga Bung Mokhtar mengeluarkan perkataan sedemikian.

Namun, Willie tidak hadir dewan semasa sesi sambungan dewan bermula pada 2.30 petang.

Bung Mokhtar kemudian beralah dan menarik balik walaupun pada asal bertegas hanya akan menarik balik selepas Willie berbuat perkara yang sama.

“Saya hanya akan tarik balik jika dia tarik balik. Saya akan tarik selepas Puncak Borneo tarik balik,” tegasnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (PH-PKR) kemudian meminta Bung Mokhtar menarik balik kerana penggunaan ‘pelacur’ juga.

“Berapa kali hendak saya tarik balik? Ok saya tarik balik sekali lagi. Kalau mahu, saya tarik sehingga ke Kinabatangan,” ujar Bung Mokhtar. – Malaysia Gazette