Home Nasional PDRM pastikan Equanimity ‘selamat’ 

PDRM pastikan Equanimity ‘selamat’ 

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) hadir bagi meninjau kapal mewah ‘Equanimity’ dipercayai milik seorang ahli perniagaan, Jho Low yang berlabuh di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 OGOS 2018.

PELABUHAN KLANG – Isu keselamatan kapal persiaran mewah Equanimity yang diserahkan Kerajaan Indonesia kepada Kerajaan Malaysia menjadi keutamaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau perlu memastikan pihak berkuasa di terminal kapal berlabuh dan pihak polis dapat diselaraskan bagi memastikan kapal mewah yang berlabuh di sini hari ini selamat sepanjang siasatan berjalan.

“Kita datang petang ini untuk memeriksa isu keselamatan di sini, perkiraan keselamatan antara pihak berkuasa di sini dengan pihak polis serta pihak-pihak berkaitan yang terlibat.

“Kita tidak akan dedahkan (jumlah anggota keselamatan), ia bergantung kepada keadaan dan keperluan. Setakat ini kita buat yang terbaik perkiraan tentang isu keselamatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Terminal Boustead Cruise Center, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamad Fuzi bersama pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Selangor membuat tinjauan dan perbincangan dengan pihak terminal mengenai keadaan Equanimity yang selamat tiba di Malaysia, hari ini.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (dua kanan) hadir bagi meninjau kapal mewah ‘Equanimity’ dipercayai milik seorang ahli perniagaan, Jho Low yang berlabuh di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 OGOS 2018.

Kapal yang dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low tiba kira-kira jam 12.25 tengahari di Terminal Boustead Cruise Center selepas berlepas dari pelabuhan Batam petang semalam.

Kerajaan Indonesia menyerahkan Equanimity kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa kunjungannya ke negara jiran itu, Jun lalu.

Ditanya tentang keadaan dalaman kapal berkenaan, Mohamad Fuzi enggan mendedahkannya kerana masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

“Kita hanya ingin dapatkan pandangan tentang keadaan kapal itu daripada pegawai kanan dari Bukit Aman dan Selangor

“Kita masuk ke dalam (kapal) melihat keadaan dalaman. Keadaan dalaman kapal tidak sesuai saya beri gambaran sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette