Home Nasional Lelaki tidak dikenali serah dokumen di Kedutaan Korea Utara

Lelaki tidak dikenali serah dokumen di Kedutaan Korea Utara

Kedutaan Korea Utara di Damansara, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI
KUALA LUMPUR  – Sekeping sampul surat berisi dokumen dipercayai daripada Kementerian Luar Negeri diserahkan kepada wakil Kedutaan Korea Utara di sini pada kira-kira 1.10 tengah hari tadi oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Lelaki yang memakai baju biru tanpa lengan dan bertopi hitam itu pada mulanya kelihatan merayau-rayau di sekitar kawasan kedutaan sambil membawa sampul surat besar dan apabila didekati pemberita yang bertanya mengenai sampul berkenaan, beliau hanya berdiam diri.

Kira-kira sepuluh minit sebelum itu, Kaunselor Kedutaan Korea Utara Kim Yu-song mengarahkan wakil media untuk beredar kerana menurutnya ada kereta akan tiba di kedutaan itu untuk menghantar dokumen.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang menghantar dokumen itu.

Yu-song bersama seorang individu kemudian kembali ke pintu pagar kedutaan yang masih tertutup sebelum didatangi individu berbaju biru itu untuk menyerahkan sampul surat tertera perkataan Seri Paduka Baginda dengan cap lambang jata negara kepada kaunselor itu.

Yu-song kemudiannya menandatangani sekeping kertas yang turut tertera perkataan Kementerian Luar Negeri.

Lelaki itu kemudiannya bergegas menaiki sebuah kereta Proton Preve yang sedang menunggu. Kereta tersebut mempunyai pelekat kereta ASEAN.

Yu-song enggan mengulas mengenai dokumen itu bila ditanya pemberita.

Pengamal media berkumpul di kedutaan itu bagi membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk penerbangan ke Macau apabila dihampiri dua wanita yang menyapu muka mangsa dengan tapak tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini pada 6 Feb dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, sebelum mayatnya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.

— BERNAMA