Home Nasional Produk semburan HFMD buat pengesahan tak berasas

Produk semburan HFMD buat pengesahan tak berasas

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Syarikat yang mengeluarkan produk semburan anti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFDM) yang berada di pasaran didapati telah membuat pengesahan yang tidak berasas berhubung produk berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya telah menerima aduan mengenai produk Anti HFMD/Flu Spray – produk penyahjangkitan atau pembunuh kuman yang dapat memberi ketahanan sepenuhnya daripada virus HFMD dan Influenza A.

Bagaimanapun, produk itu  tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka ia bukan di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM.

“Produk ini diperbuat daripada mineral yang diaktifkan dan syarikat pengeluar dengan jelas melabelkan ianya boleh membunuh dengan serta merta 99.99 peratus virus-virus HFMD dan Influenza A.

“Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Produk tersebut adalah bagi kegunaan luaran dengan menyembur produk ini pada baju, permukaan, permainan dan juga topeng.

Noor Hisham berkata, atas keperluan untuk memastikan masyarakat tidak keliru terutama ketika penularan jangkitan HFMD yang melanda negara, syarikat berkenaan dinasihatkan untuk mengeluarkan dakwaan Anti HFMD/Flu bagi pasaran di Malaysia dan menggantikan dengan penjelasan yang lebih umum serta bersesuaian di label produk bagi mengelakkan kekeliruan.

Orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada produk-produk sebaliknya diminta mengamalkan lima perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD.

Pendekatan itu ialah penjagaan kebersihan diri; amalan cuci tangan yang betul; penjagaan kebersihan persekitaran; pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska/tabika/tadika/pra-sekolah; dan disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar. – MalaysiaGazette