KUALA LUMPUR – Situasi pertahanan negara pada masa ini dikatakan lebih rendah berbanding negara Vietnam.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mendedahkan perkara itu berkata, keadaan tersebut jauh berbeza daripada kedudukan negara pada sekitar 70an yang pernah direkod menjadi nombor satu di rantau ini.
“Ini memalukan, terutamanya di arena antarabangsa. Kami akan bekerja keras untuk menjadikan Malaysia hebat lagi dan menjadi nombor satu,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mohamad Sabu berkata, dalam hal berkenaan Indonesia menjadi negara yang dilihat lebih baik di rantau ini dan diiktiraf sebagai negara pertama dalam aspek tersebut.
Ahli Parlimen Kota Raja itu menjawab pertanyaan Danyal Balagopal Abdullah (PH-Port Dickson) yang mahu mengetahui sama ada Kementerian Pertahanan akan menerima peruntukan bagi melaksanakan rancangan dalam menangani masalah yang dihadapi.
Dalam pada itu, Mohamad mengakui terdapat gangguan dalam aliran dana di kementerian.
Dengan memberikan contoh, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah meminta RM1.8 bilion untuk menyelenggara jet pejuang Sukhoi namun, hanya RM1.1 bilion yang diluluskan dalam bajet.
“Mereka (TUDM) memerlukan penamnbahbaikan yang besar. Saya boleh menyalahkan kerajaan terdahulu, tetapi ini tidak akan menyelamatkan keadaan.
“Apa kelemahan yang ada pada masa lalu, kami tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.
“Sekiranya ada kelemahan yang menggalakkan rasuah, kami akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan beberapa aset yang sudah berusia 20 tahun memerlukan penggantian atau penyelenggaraan.
Ujarnya, kementerian juga sedang mencari pakar untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan itu.
Selain itu katanya, kementerian kini sedang menjalankan banyak latihan dengan beberapa negera seperti Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Thailand.
Hujung bulan lalu, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa hanya empat daripada 28 jet pejuang buatan Rusia yang dimiliki oleh TUDM boleh digunakan.
Menteri Pertahanan itu berkata, pada masa ini TUDM mempunyai sebanyak 18 pesawat tempur MiM-29 Sukhoi, Su-30MKM buatan Russia. – MalaysiaGazette