Home Nasional Guan Eng kasar, tuduh BN ‘rompak’ RM18 bilion

Guan Eng kasar, tuduh BN ‘rompak’ RM18 bilion

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang rompakan RM 19 bilion oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Sentul, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 09 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Wakil-wakil rakyat Barisan Nasional mempertikai sikap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tidak menjawab soalan pembangkang berhubung dakwaan kira-kira RM18 bilion wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hilang daripada sebuah akaun amanah.

Malah, perkataan “rompakan” yang dikeluarkan oleh Guan Eng merujuk kepada kehilangan itu disifatkan sebagai satu tuduhan kasar dan ia memerlukan bukti kukuh bagi menunjukkan perkara tersebut benar-benar berlaku.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Guan Eng sepatutnya tidak wajar menggunakan perkataan rompakan pada sesi Dewan Rakyat kerana ia merupakan satu tuduhan kasar merujuk kepada perlakuan mencuri.

“Kami telah membuat keputusan hari ini bahawa siasatan dalaman yang akan dibuat oleh Kementerian Kewangan itu tidak mencukupi sebab tuduhan rompakan itu adalah jenayah.

“Saya telah buat laporan polis tadi di Balai Sentul untuk siasat tuduhan tersebut bagi mendapat kepastian sama ada tuduhan itu betul atau tidak dan esok saya akan buat laporan di SPRM kerana rompakan ada unsur-unsur rasuah yang dibuat oleh kerajaan yang lepas.

“Saya harap siasatan oleh PDRM dan SPRM tidak akan dihalang dan diganggu oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Bagi Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penjelasan Guan Eng di Dewan Rakyat seolah-olah cuba membayangkan bahawa kerajaan terdahulu telah melakukan rompakan adalah satu perkara yang tidak adil.

Ini kerana katanya, Kementerian Kewangan pada ketika ini sedang menyiasat perkara tersebut dan keputusan akhir terhadap siasatan itu belum lagi diperoleh.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi timbalan speaker saya hormat keputusan speaker yang menolak usul yang dibawakan di bawah peraturan 36(12),” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, beberapa perkara yang dilibatkan oleh Guan Eng berhubung jumlah yang tidak dibayar kepada peniaga oleh kastam boleh membuat tuntutan mengikut undang-undang.

Malah katanya, mereka yang merasa ditindas boleh mengambil tindakan saman terhadap kastam atau Kementerian Kewangan.

“Saya ingin mengulangi pendirian saya bahawa mereka patut menyaman kastam dan kalau ia bukan kastam, saman Kementerian Kewangan,” tegasnya. – MalaysiaGazette