KUALA LUMPUR – Adakah penemuan kaedah Waterfuel oleh grup Ibuyati bakal mengubah teknologi dunia automotif?
Sejarah telah merekodkan banyak penemuan yang mengubah dunia dilakukan oleh orang biasa bukan oleh pakar.
Seperti Sir Isaac Newton yang perasan apabila buah epal jatuh kena kepalanya dan kenapa epal itu jatuh ke bawah?
Ekoran insiden itu terhasil teori tarikan graviti seterusnya menjadi ‘kunci’ mengubah sejarah dunia.
Persoalannya adakah penemuan oleh kumpulan penyelidik tempatan itu juga boleh mengubah sejarah atau hilang begitu sahaja seperti pencipta inovasi tempatan yang lain sebelum ini.
Apa pun, sekiranya ia terbukti mampu dikomersilkan apa lagi manfaat yang boleh digunakan oleh projek Waterfuel pada masa depan?
Menurut Ibuyati yang juga jurucakap kepada kumpulan berkenaan, kunci bahan api berasaskan air ialah ‘memecahkan’ air kembali kepada hidrogen dan oksigen dengan hanya sedikit tenaga, kebalikan daripada menggabungkan hidrogen dan oksigen menjadi air tanpa menggunakan sebarang tenaga.
“Ini bermakna dengan kaedah Waterfuel, hidrogen boleh dihasilkan pada bila-bila masa, sebanyak mana yang dikehendaki dengan kos yang murah atau hampir percuma.
“Peringkat pertama, Waterfuel digunakan untuk menghidupkan enjin kereta. Implikasinya, penggunaan kenderaan lebih meluas dan tanpa had kerana kurang atau tanpa menggunakan minyak fosil sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan semua pergerakan, mengurangkan kos pengeluaran dan pengedaran disamping membolehkan rakyat bergerak menggunakan kenderaan ke mana sahaja dengan mudah dan murah.
“Peringkat kedua, semua enjin boleh dihidupkan menggunakan air termasuk generator pasar malam yang membekalkan elektrik,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Ibuyati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias merupakan jurucakap kepada kumpulan penyelidik bebas yang mencipta teknologi air menggantikan bahan api berasaskan fosil.
Mengulas mengenai teknologi yang sama, Ibuyati berkata, ia berfungsi seperti kereta enjin disambungkan kepada dinamo sebelum menghasilkan tenaga elektrik atau dipanggil generator.
“Penggunaan minyak menyebabkan kos yang mahal namun ia ‘percuma’ jika menggunakan air.
“Tenaga elektrik percuma sudah tentu akan merancakkan apa-apa sahaja yang menggunakannya sehingga tiada had,” ujarnya yang juga wartawan yang menerima beberapa anugerah sebelum ini.
Menurut Ibuyati, bukan sahaja rakyat mendapat bekalan elektrik percuma di rumah masing-masing jika menggunakan teknologi Waterfuel tetapi setiap industri yang melibatkan jentera menggunakan minyak akan mendapat manfaat dalam aspek pengurangan kos.
“Bekalan elektrik tiada hadnya ini juga bermaksud tidak ada lagi kekangan daripada segi infrastruktur, geografi, bentuk muka bumi, keperluan empangan sungai janakuasa, tiang dan kabel elektrik, gangguan bekalan dan sebagainya.
“Walaupun tinggal di dalam hutan belantara, atas gunung, pulau sekali pun, semua boleh mendapatkan bekalan elektrik,” terangnya lagi.
Tambahan pula, bekalan teknologi air itu berkonsepkan supply on demand.
Peringkat ketiga, katanya, gabungan teknologi Waterfuel ciptaan mereka dengan semua sumber elektrik lain seperti solar juga menjadi gabungan terbaik.
Malah gabungan kedua-duanya juga bukan sahaja terhad pada aktiviti di bumi malah juga di angkasa.
Sebab itu, katanya,seluruh dunia ketika ini menerima dan berpegang kepada falsafah dan konsep masa depan bergantung kepada sumber hidrogen.
“Atas sebab itu juga banyak pihak yang rasa tergugat dengan teknologi seperti Waterfuel ini dan mereka telah, sedang dan akan terus melakukan apa sahaja untuk menyekat dan menggagalkannya,” dakwanya.
Bagi memastikan masa depan yang lebih cerah maka sudah tentu sesebuah kerajaan mesti mengambil inisiatif berani memulakannya termasuk Malaysia.
Sebelum itu, Ibuyati bersama seorang pengkaji bebas, Abdul Hamid Yeop Zainuddin mencadangkan teknologi kenderaan menggunakan air sebagai bahan api perlu diaplikasikan kepada kereta nasional ketiga cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette
Projek Waterfuel bukan sel hidrogen
Ibuyati buktikan pakar salah, air boleh jadi bahan api
Mustahil kereta pakai air boleh dikomersilkan
Ibarat beri ‘minyak percuma’ jika guna Waterfuel
EKSKLUSIF: Kereta nasional ketiga perlu guna tenaga air