SHAH ALAM – Kira-kira 1.6 juta penjawat awam akan terkesan dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal menyebabkan gaji mereka tidak akan dinaikkan dan gaji minimum gagal dilaksanakan.
Datuk Seri Najib Razak berkata, menaikkan gaji penjawat awam bagi menghampiri gaji sektor swasta dan menaikkan pendapatan rakyat adalah salah satu fokusnya, lantaran itu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.
Bagaimanapun, katanya, apabila GST dihapuskan, pendapatan negara akan berkurangan dengan pengenalan semula SST.
Di bawah GST, jelasnya, ahli perniagaaan kaya dan ekonomi gelap tidak lagi dapat mengelak dan melarikan diri dari cukai atau terlibat dalam pengeluaran modal dari Malaysia secara haram seperti yang mereka lakaukan di bawa SST.
Katanya, Kerajaan Barisan Nasional mengutip lebih banyak wang dari orang kaya yang akan berbelanja lebih di bawah GST berbanding dengan orang miskin kerana terdapat banyak pengecualian.
“Sekarang GST telah dihapuskan, orang kaya dan ahli perniagaan boleh mengelakkan cukai sekali lagi dan merekalah yang akan beroleh kelebihan utama.
“Wang yang hilang kepada orang kaya ini tidak lagi boleh digunakan untuk menaikkan gaji penjawat awam dan membantu kumpulan B40,” katanya melalui Facebook.
Najib menambah, menaikkan gaji penjawat awam merupakan salah satu dari janji di bawah manifesto BN PRU14 dengan kajian gaji dijanjikan pada bulan Julai namun ini tidak lagi menjadi.
“Penjawat awam yang paling terkesan bukan hanya kerana gaji masih tidak dinaikkan, tetapi dari segi pencen jangka hayat yang lebih rendah apabila mereka bersara.
“Saya harap “Malaysia Baharu” ini bukan hanya untuk yang kaya dan golongan peniaga sahaja,” kata Najib lagi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedih apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan tidak akan menaikkan gaji penjawat awam dan menguatkuasa gaji minimum pada masa terdekat kerana akan memberi impak kepada operasi kerajaan.
Najib mendakwa isu gaji penjawat awam yang dikaitkan dengan gaji minimum adalah salah satu polisi utama yang menyebabkan Dr Mahathir kurang senang dengannya.
“Mahathir telah berkata sebelum ini bahawa beliau dipaksa untuk keluar dari persaraan untuk melawan saya kerana rakan-rakan perniagaannya tidak senang dengan keputusan polisi kerajaan saya. Gaji minima merupakan salah satu polisi yang tidak disukai beliau dan rakan-rakannya.
“Malah, Mahathir menulis mengenai ketidak puasan beliau dengan gaji minima di dalam blog Chedet pada 2 Mei 2012, di mana beliau menyatakan Malaysia sudahpun mempunyai gaji yang tinggi di ASEAN setelah Singapura dan menaikkan gaji minima akan menyababkan pelabur dan orang asing memindahkan kilang mereka keluar dari Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata, jurang pendapatan di Malaysia adalah tinggi dan negara ini tidak memerlukan kilang yang datang ke sini untuk mengeksploitasi rakyat dengan gaji rendah.
“Kalau mahu, mereka boleh pergi dan kita boleh menggantikan dengan industri dan pelabur yang menawarkan gaji yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette