KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 rangka anggota tentera New Zealand ditempatkan sementara di Kem Wardieburn sebelum diserahkan kepada kerajaan New Zealand, 20 Ogos ini.
Satu upacara penghormatan terakhir bagi menghantar tujuh lagi rangka diadakan hari ini di Markas Staf Stesen (MSS) Taiping, Perak.
Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan hari ini berkata, upacara itu diadakan sebagai simbolik penghormatan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada anggota tentera New Zealand yang telah disemadikan di tanah perkuburan perang
(CWG) Kamunting, Perak pada tahun 1958 hingga 1960.
“Dengan upacara ini, menandakan selesainya proses ekskavasi rangka anggota tentera New Zealand di Perak yang telah bermula pada 23 Julai sehingga 12 Ogos 2018.
“Kerja-kerja ekskavasi dilakukan di CWG Kamunting manakala proses analisis forensik dilakukan di Hospital Taiping,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, keseluruhan proses itu dikendalikan oleh 55 petugas dari ATM, 40 petugas dari agensi kerajaan serta universiti tempatan bersama 23 petugas dari New Zealand.
Katanya, kesemua rangka berkenaan di temoatkan di Dewan Wardieburn dan akan diserah kepada pihak tentera New Zealand dalam satu upacara yang akan berlangsung di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA). – MalaysiaGazette