KUALA LUMPUR – Menghambakan diri selama 20 tahun di Australia, individu bernama Dr. Mohd Radzi Md Jidin mulanya mahu terus menetap di situ, namun mengenangkan isu besar yang menimpa negara ketika itu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau nekad kembali ke tanahair.
Mendekati Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di satu sudut di Parlimen, terpancar raut wajah sebenar yang mencerminkan niat beliau pulang ke Malaysia semata-mata ingin membantu Pakatan Harapan (PH) dalam menyelamatkan negara.
Berusia 41 tahun, beliau mencatat sejarah tersendiri apabila terjun ke bidang politik biarpun pernah selesa sebagai seorang pensyarah dan pakar perunding di Universiti of Tasmania di Hobart.
Leka dengan permandangan gunung ganang dan persekiratan yang sunyi di Hobart, secara tiba-tiba beliau terpanggil untuk pulang ke tanahair.
“Isu 1MDB yang buat saya masuk politik, sebab perkara ini bidang saya dan saya bawa banyak penyelidikan dan baca beribu muka surat untuk dapat fahaman.
“Apabila timbul 1MDB, tidak ramai yang sebelah UMNO bercakap mempertahankan isu ini. Sebagai orang yang tahu sedikit sebanyak bidang akaun dan audit, saya kata saya kena belajar isu ini supaya saya dapat pertahankan parti.
“Tapi apa yang terjadi sebaliknya, lagi banyak kita baca, lagi banyak kita tengok kemungkaran yang berlaku. Ianya mengambil masa yang lama dan isu 1MDB orang masih tidak peduli,” katanya dalam sesi temubual bersama MalaysiaGazette di Parlimen.
Bekas pemimpin kelab penyokong UMNO luar negara itu berkata, beliau pernah mempersoalkan isu 1MDB kepada pemimpin utama parti itu, namum segalanya sia-sia kerana tidak diendahkan golongan terbabit.
“Saya telah buat dan jumpa dengan beberapa pemimpin, sebab isu ini besar dan patut buat sesuatu. Sejujurnya saya beritahu kalau minta Datuk Seri Najib letak jawatan sekarang (ketika sebelum PRU), tidak ada perubahan sebab UMNO akan terus hidup sebab ini melibatkan integriti individu.
“Bila kita bangkitkan isu ini, mereka kata saya tidak menghormati pemimpin, ini berhubung isu itu sendiri dan apa yang berlaku lepas BN kalah, semua mengaku ada cakap kepada pemimpin,” cerita beliau.
Pemegang Doktor Falsafah (Phd) di The Australian National University turut berkata, isu yang dibawanya satu ketika dahulu kini memberi kesan kepada rakyat dan negara.
Apa tidaknya, disebabkan 1MDB negara kini menanggung hutang yang besar dan menimbulkan masalah kepada kerajaan PH bagi memastikan ekonomi negara terus berjalan.
“Kita kena faham, isu duit hilang ini kesannya kepada rakyat. Bila hutang ini banyak tidak tahu wang pergi mana, apa hasil kepada rakyat. Itu yang kena tekankan.
“Pihak UMNO, mereka kata 1MDB bukan isu, rakyat tidak kena tempias tapi hakikatnya hari ini kita nampak. Saya sudah sebut banyak kali bahawa hutang ini akan mencengkam rakyat.
“Dari dulu saya tanya, apa hasil daripada 1MDB, ada hutang berpuluh bilion apa hasilnya kepada negara. Jadi penyiasatan tidak sukar, sebab apa yang berlaku dalam sistem perbankan. Kita boleh jejak transaksi yang dilakukan dan kita boleh tahu masuk akaun siapa,” ujar anak jati Ketereh itu.
Dalam temubual selama 30 minit itu, Dr Radzi pandai mengambil peluang menceritakan pengalamannya sewaktu kali pertama memegang jawatan selaku Timbalan Menteri.
Ujarnya, agar sukar seorang pensyarah yang banyak bermain dengan nombor dan pengiraan untuk memahami selok belok pentadbiran, namun alah bisa, tegal biasa.
Tanggungjawab yang digalas akan dibawa sebaik mungkin demi menunaikan sumpah demi menyelamatkan Malaysia.
“Tun Dr Mahathir buat panggilan itu pada Raya Aidilftri keempat, ini satu sejarah dalam hidup saya, Perdana Menteri telefon saya melalui pejabat beliau. Saya faham kaedah itu dan saya amat terkejut.
“Sebagai seorang yang baru dalam politik secara langsung dan dilantik ke kementerian yang agak kanan dan banyak perkara yang perlu diambil kira, adalah satu pembelajaran yang agak sukar bagi saya.
“Kena belajar banyak lagi dalam masa yang singkat. Saya dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri hampir sebulan, dan nak selesaikan urusan pejabat dan dilantik semasa Parlimen bersidang, maka saya kena kemas kini dengan isu dan soalan dalam masa yang singkat adalah satu cabaran.
“Agak besar bagi saya bila bercakap tentang Felda, ekonomi negara, dan ia singkat untuk saya fahami segala itu. Tapi saya yakin dengan sokongan daripada pihak kementerian dan menteri sebagai ketua yang banyak beri panduan kepada saya dan saya selesa biarpun baru sebulan saya di Kabinet,” jelas beliau lagi. -MalaysiaGazette