Home Nasional Hanya RUU355 mampu rungkai isu LGBT

Hanya RUU355 mampu rungkai isu LGBT

Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Salamiah Md Nasir (dua kiri) serta yang lain menunjukkan kenyataan media berkenaan isu LGBT di Pejabat Muafakat, Taman Melawati, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2018
Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Salamiah Md Nasir (dua kiri) serta yang lain menunjukkan kenyataan media berkenaan isu LGBT di Pejabat Muafakat, Taman Melawati, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 mampu menjadi titik tolak dalam menyelesaikan pertikaian mengenai isu tuntutan transgender oleh golongan LGBT.

Ini kerana, kandungan di dalam RUU berkenaan diyakini dapat merungkai permasalahan yang melibatkan hukum Islam terhadap golongan berkenaan.

Pandangan itu diutarakan oleh Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) yang meletakkan keyakinan tinggi bahawa usaha untuk memperbetulkan keadaan yang berlaku itu perlu berlandaskan kepada ajaran Islam.

Pengerusinya, Wan Asshima Kamaruddin berkata, tidak ada lagi perkara yang boleh membantu dalam menyelesaikan pertikaian tersebut selain kembali kepada pegangan agama dengan memperkasakannya.

“Hanya dengan memperkasa dan mendaulatkan Islam kita dapat mengawal gerakan mereka (LGBT).

“Saya yakin kerajaan sekarang bertindak sebagai kerajaan baru yang lebih kepada perkara berlandaskan Islam.

“Sebab itu Dr Mujahid Yusof Rawa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) mencari cara untuk menyelesaikan masalah-masalah ini,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut Wan Asshima menegaskan,rang undang-undang tersebut berfungsi untuk mendidik golongan terbabit agar mereka dapat kembali kepada fitrah asal.

Namun, apa yang berlaku ketika ini ialah masyarakat dimomokkan dengan hukuman dan bukannya didikan sebagai mana maksud yang terkandung dalam RUU itu.

“Hukum hudud itu sendiri bukanlah satu hukuman yang jahat, sebaliknya ia hanya untuk mendidik.

“Golongan LGBT ini adalah mereka yang tersasar daripada kehidupan sebenar serta terkeliru dengan identiti sedirii.

“Mereka hanya berada dalam golongan tertentu sahaja dan mereka tidak tahu mana yang betul dan mana yang salah,” ujarnya.

Beliau menambah, GMIM ada mengambil inisiatif mendekati golongan tersebut bagi membantu mereka pulang ke pangkal jalan.

Dalam pada itu, GMIM yang turut disertai 30 buah gerakan wanita akan mengadakan pertemuan dengan Mujahid bagi membincangkan perkara tersebut sejurus selepas menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama itu pulang daripada menunaikan ibadah haji.

Katanya, menerusi pertemuan itu nanti beberapa perkara akan dibincang terutamanya yang melibatkan wanita kerana pada ketika ini kaum hawa di Malaysia dilihat semakin terancam gara-gara tuntutan yang dibuat oleh golongan LGBT. – MalaysiaGazette