Home Politik PRK Balakong penentu pola politik Selangor

PRK Balakong penentu pola politik Selangor

KUALA LUMPUR – PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang akan berlangsung serentak dengan PRK DUN Seri Setia pada 8 September ini menjadi titik tolak kepada penentuan pola politik di Selangor.

Ini kerana, kedua-dua PRK yang akan berlaku itu akan menunjukkan kepada satu senario kebangkitan rakyat selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu apabila tampuk pemerintahan bertukar kepada Pakatan Harapan (PH).

Rakyat kini semakin matang dalam membuat pilihan terhadap pemimpin selepas ledakan teknologi maklumat yang semakin canggih selain perkara-perkara yang dialami mereka sendiri.

Buktinya, dapat dilihat pada PRK Sungai Kandis lalu apabila graf pengundi yang keluar untuk memilih tidak seperti diharapkan oleh SuruhanJaya Pilihan Raya (SPR).

Penurunan jumlah keluar mengundi pada PRK tersebut seolah-olah menunjukkan signal sama ada rakyat takut ‘dikencing’ dengan janji-janji parti politik yang belum tertunai atau mereka bimbang tersalah membuat pilihan.

Dalam hal ini penulis meletakkan keputusan kepada pembaca untuk menilai sendiri langkah dalam membuat percaturan politik terhadap negeri yang kaya dengan industri ini.

Berdasarkan pengamatan penulis melalui komen-komen penganalisis politik berhubung PRK Sungai Kandis, keadaan yang sama mungkin akan berlaku di kedua-dua PRK akan datang.

Trend pengundi yang ketika ini melihat kepada perubahan dibawakan oleh pemerintah menjadi elemen penting dalam membuat pilihan meskipun mereka tahu kerajaan ini masih baharu dalam mengemudi negara.

Namun, semua itu tidak dijadikan ukuran dan kerajaan tidak sewajarnya menjadikan alasan tersebut sebagai langkah untuk menyelamatkan diri.

Apa yang penting, rakyat telah memberikan mandat dan mereka perlulah mencari jalan untuk menunaikan semua janji-janji yang telah diucap sebelum ini.

Berbalik kepada PRK Balakong, walaupun dua parti utama yang akan bertanding iaitu MCA dan PH berhasrat untuk menggunakan logo lain seperti kelaziman tetapi, percayalah semua itu tidak akan menutup identiti parti yang sebenar.

Jika ia disebut Pakatan Harapan maka rakyat akan ingat janji-janji 100 hari yang yang belum terlaksana lagi.

Begitu juga dengan MCA, parti kaum Cina yang merupakan komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Bagi pengundi-pengundi Cina di di DUN Balakong, menyebut nama parti MCA mungkin akan mengingatkan mereka dengan isu-isu yang timbul dan dikaitkan oleh kerajaan pemerintah sebelum ini.

Hakikatnya, parti-parti yang akan bertanding termasuk calon dan jentera perlu bekerja lebih keras untuk menyakinkan pengundi bahawa parti merekalah yang terbaik dan mampu manabur jasa kepada rakyat.

Daftar pemilih PRK yang dikemasmikini sehingga Julai 2018 adalah seramai 62,219 pengundi.

PRK Balakong diadakan berikutan penyandang kerusi berkenaan daripada DAP, Ng Tien Chee meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 11.7 Lebuh Raya Grand Saga, Kajang pada 20 Julai Julai lalu.

Rentetan kematian itu, kerusi DUN Balakong diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim pada 27 Julai lalu.
SPR akan menggunakan Dewan Utama Demesne di Pejabat Daerah Hulu Langat sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi. – MalaysiaGazette