Home Politik Seketariat Profesional Muda UMNO sokong Dr Ilyani

Seketariat Profesional Muda UMNO sokong Dr Ilyani

Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.
Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Seketariat Profesional Muda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris menyatakan sokongan terhadap kenyataan Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi.

Menurut beliau, sokongannya itu ekoran surat doktor berkenaan dalam soal Lesbian, Bikseksual, Gay, Transgender (LBGT) dalam sepucuk surat terbuka Nur Ilyani kepada anak Perdana Menteri Malaysia, Marina Mahathir.

Bagaimanapun beliau kesal akibat kenyataan dalam surat terbuka kepada Marina itu, Dr Ilyani kemudiannya dirujuk kepada Biro Pengaduan Awam untuk diambil tindakan tatatertib ke atasnya ekoran kritikannya terhadap isu tersebut.

“Seketariat Profesional Muda UMNO menyokong penuh kenyataan Dr Ilyani yang tidak berselindung dan berterus terang dalam isu LGBT ini diatas profesionalismenya sebagai seorang doktor perubatan.

“Ia merupakan satu pandangan yang tepat dan bernas dalam isu LGBT yang sedang dipromosikan oleh pihak-pihak tertentu termasuk di dalam kerajaan PH sendiri hari ini.

“Kita juga amat kesal apabila beliau ingin dikenakan tindakan tatatertib berhubung surat terbukanya kepada Marina itu dan ternyata, tindakan tatatertib yang  mahu dikenakan kepada Dr Ilyani membuktikan tidak ada kebebasan bersuara seperti mana yang dilaungkan sebelum ini di dalam kerajaan PH,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Najmil, Seketariat Profesional Muda UMNO akan menyatakan bantahan keras sekiranya kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan tatatertib ke atas Dr Ilyani berhubung kenyataannya itu.

“Sekiranya kerajaan atau KKM berani mengambil tindakan terhadap beliau, maka kami dari Seketariat Profesional Muda UMNO tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bantahan keras kami terhadap tindakan tersebut melalui pelbagai cara.

“Kita mahu kerajaan hari ini berpegang kepada kata-kata mereka dalam keterbukaan rakyat untuk bersuara, selagi mana ia tidak melampaui batas dan undang-undang dan kita berharap agar kerajaan tidak mencabuli hak kebebasan rakyat untuk bersuara, sebagaimana mereka mencabuli janj-janji mereka di dalam manifesto PH sebelum ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette