Home Nasional Muhyiddin angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat

Muhyiddin angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat sekembalinya dari cuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan baru-baru ini.

Muhyiddin mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah setia di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kira-kira jam 10 .05 pagi tadi.

Muhyiddin sepatutnya mengangkat sumpah bersama 220 Ahli Dewan Rakyat lain dalam Me­syuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang memulakan persidangannya pada 16 Julai lalu.

Terdahulu Muhyiddin tiba di lobi bangunan Parlimen kira-kira jam 9.45 pagi tadi dengan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini, media dilaporkan bahawa Muhyiddin mengambil cuti sejak 12 Julai lalu bagi menjalani pembedahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjalani pembedahan di Singapura baru-baru ini bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Beliau dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 7 Ogos lalu.

Sepanjang Muhyiddin bercuti sakit, portfolio beliau sebagai Menteri Dalam Negeri dipangku oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette