Home Politik Ahli Majlis Subang Jaya calon DAP PRK Balakong

Ahli Majlis Subang Jaya calon DAP PRK Balakong

Wong Siew Ki
Wong Siew Ki

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki menjadi pilihan DAP untuk diletak sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September ini.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Menurut Guan Eng, nama Siew Ki dicadangkan oleh pemimpin DAP Selangor ekoran kesungguhannya yang sering membantu parti peringkat akar umbi.

Sebelum ini, timbul spekulasi apabila ada pihak menyatakan bahawa DAP akan meletakkan wartawan sukan sebuah saluran televisyen berbayar, Yunna Tan untuk bertanding di kerusi tersebut.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi DAP tidak bersetuju untuk meletakkan Yunna.

Kerusi Balakong kosong selepas penyandangnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Tien Chee mengalahkan calon MCA, Lim Chin Wah dan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi. – MalaysiaGazette