KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akhirnya berlapang dada terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyokongnya sebagai seorang Perdana Menteri.
Meskipun sebelum ini beliau sering berperang mulut dalam beberapa isu namun Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan, tidak ada rekod beliau pernah melawan mana-mana perdana menteri.
“Saya tak pernah tinggalkan UMNO, dia tinggalkan UMNO (Dr Mahathir), tapi dia perdana menteri sekarang, kita kena sokonglah… tiada rekod saya melawan perdana menteri.
“Lagi pun kita sokong perdana menteri apa dia buat sekarang ini,” katanya kepada pemberita di luar Parlimen hari ini.
Bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, pendedahan dibuat kerajaan pimpinan Dr Mahathir seperti isu perhiasan isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan SRC International, tidak diketahuinya semasa dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya tidak tahu tentang perhiasan Rosmah dan saya tak tahu tentang SRC. Jadi kita kena benarkan perdana menteri untuk membuat penyiasatan. Kalau ada kes prima facie, dakwalah,” katanya.
Nazri berkata, beliau juga terkejut apabila pendedahan berkenaan dibuat.
“Kita sebagai ahli parti macam zaman Dr Mahathir dulu, dia presiden, apa dia cakap kita tak siasat dah, dia tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu begini, kita setia.
“Dan Datuk Seri Najib Razak, kalau apa yang mereka tak cerita pada kita, kita akan sokong,” katanya.
Nazri berkata beliau juga akan ‘duduk diam’ dan memilih untuk tidak bercakap banyak sekarang kerana mahu melihat apa yang akan didedahkan lagi. – MalaysiaGazette