KOTA KINABALU – Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman perlu mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Sibuga sebelum 11 September ini atau mengosongkan kerusi itu.
Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, arahan itu selaras Perlembagaan Negeri yang memberi tempoh 3 bulan selepas sidang DUN pertama bagi wakil rakyat dipilih untuk mengangkat sumpah.
DUN Sabah pertama kali bersidang pada 11 Jun selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Tan Sri Musa tidak perlu tunggu hingga 11 September dan boleh mengangkat sumpah pada bila-bila masa sebelum tarikh itu,” katanya ketika ditemui di sini.
Musa dipercayai meninggalkan Malaysia pada 17 Mei lalu untuk menerima rawatan kesihatan di United Kingdom. — BERNAMA