Home Nasional Status KR1M telah dimuktamad, menteri akan umum tidak lama lagi

Status KR1M telah dimuktamad, menteri akan umum tidak lama lagi

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berucap pada Majlis Pelancaran eWallet KK Super Mart dan Touch n Go di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2018
Chong Chieng Jen. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memuktamadkan status Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen. 

Namun kata beliau, keputusan itu hanya akan diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution dalam satu sidang media tidak lama lagi. 

“Menteri akan umumkannya (status KR1M) tidak lama lagi , kami sudah buat beberapa keputusan tentangnya tapi menteri penuh yang akan umumkannya kita tunggulah.

“Terpulang kepada menterilah bila, bukan di Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita dalam majlis pelancaran kerjasama e-wallet Touch ‘n Go dengan KK Super Mart di Terminal Bersepadu Selatan hari ini. 

Kali terakhir Saifuddin memaklumkan status terkini bakal diumum adalah pada 26 Julai. 

Untuk rekod KR1M mula dibuka secara berperingkat-peringkat pada 2011 di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertujuan menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan harian pada harga antara 30 hingga 50 peratus lebih murah berbanding kedai dan pasar raya lain.

KR1M kemudian ditukar dengan KR1M 2.0 dengan penambahbaikan dan dilancarkan pada awal Februari lalu. – MalaysiaGazette