KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) belum membuat keputusan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malah Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, jawatankuasa itu belum boleh memutuskan individu yang akan dipanggil dalam isu tersebut.
“Kami PAC perlu terlebih dahulu perlu berpandukan strategi dasar sebelum menjalankan siasatan itu.
“Strategi siasatan itu akan ditentukan kemudian dan akan meneliti semua perkembangan siasatan sebelum ini.
“Yang pasti kita tidak akan mengulangi yang dilaksanakan sebelum ini,” kata beliau pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangka membentangkan usul supaya Ketua Audit Negara dan PAC membuka semula siasatan 1MDB di Dewan Rakyat esok.
Ronald memberi jaminan perkara dan isu yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.
Terdahulu beliau mempengerusikan sesi taklimat ahli-ahli PAC bersama Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad.
Ditanya jangka masa siasatan 1MDB, Ronald berkata, pihaknya perlu berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas yang juga menyiasat 1MDB. – MalaysiaGazette