PETALING JAYA – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Halimah Ali dipilih sebagai calon parti itu untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 8 September ini.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Halimah dipilih berdasarkan pengaruh beliau sebagai tokoh Pas Pusat dan memiliki pengalaman luas dalam DUN ketika Pas memerintah Selangor sebagai kerajaan campuran bersama PKR dan DAP.
Halimah yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas sebelum ini bekas wakil rakyat DUN Selat Klang dan EXCO Kerajaan Selangor.
“Beliau juga seorang tokoh pemimpin yang berpengaruh di Selangor dan pernah menang banyak kali pada pilihan raya.
“Pada masa sama, beliau memiliki pengalaman untuk mendekati rakyat dan faktor itu penting sebagai wakil rakyat,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan calon Pas bagi PRK Seri Setia di Dataran Mentari di sini malam ini.
Penamaan calon PRK Seri Setia ditetapkan Sabtu ini serentak dengan PRK Balakong apabila hari pengundian diadakan pada tarikh yang sama.
Hari mengundi awal pula ditetapkan pada 4 September.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 21 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 7 September.
PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu, Shaharuddin menang besar selepas memperolehi 29,250 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M. Haniff (9,878 undi), calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563 undi) dan calon bebas S. Vigneswaran (217 undi).
BN sebelum ini memutuskan untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di Seri Setia sebagai membalas kesediaan Pas yang terlebih dahulu berbuat tindakan serupa di DUN Sungai Kandis.
Terdahulu, Abdul Hadi menyerahkan watikah kepada Halimah sebagai calon Pas. – MalaysiaGazette