KUALA LUMPUR – Kaunselor di Kedutaan Korea Utara di sini, Kim Yu-song mengherdik pengamal media yang menyerbu kereta Mercedes Benz berwarna biru gelap yang dipandunya sehingga cermin sisi kereta itu tertanggal.
Beliau ketika itu sedang mengundurkan kenderaannya dari kawasan kedutaan kira-kira 12.15 tengah hari tadi.
Yu-song lalu keluar daripada keretanya bagi membetulkan cermin itu di sebelah bahagian pemandu serta meninggikan suaranya kepada pihak media.
“Siapa pecahkan cermin sisi saya. Keluar dari sini,” jeritnya dalam bahasa Inggeris.
Para pengamal media berhimpun di kawasan kedutaan bagi mendapat maklumt terkini mengenai kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Pada 13 Februari lepas, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki penerbangan ke Macau mati apabila dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.
Jong-nam, yang memasuki negara ini pada 6 Februari dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Mayatnya kemudian dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. – MalaysiaGazette