Home Nasional 5,362 kes pasangan Islam kahwin bawah umur

5,362 kes pasangan Islam kahwin bawah umur

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPURĀ – Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi permohonan pasangan Islam untuk berkahwin di bawah umur 18 tahun bagi tempoh 2013 hingga 2017 mencatatkan sebanyak 5,362 kes.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, manakala dalam kalangan pasangan bukan Islam pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan sebanyak 2,367 kes bagi tempoh sama.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa beberapa undang-undang sedia ada masih menjaga kebajikan kanak-kanak dan remaja yang terlibat supaya mereka dilindungi daripada eksploitasi.

“Buat masa ini, mereka dilindungi di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen/ Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri serta Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Undang-undang ini diperuntukkan untuk permohonan perkahwinan bawah umur hendaklah mendapat kebenaran daripada Hakim Syarie (bagi Muslim) dan Ketua Menteri (bagi bukan Islam).

“Manakala Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan Pelbagai Undang-Undang Adat Kaum Pribumi di Sarawak adalah bagi perkahwinan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak,” katanya menjawab pertanyaan lisan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya-PH) dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Maria Chin Abdullah
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

Beliau mengulas pertanyaan Maria yang meminta menyatakan statistik perkahwinan di bawah umur 18 tahun serta menjelaskan bagaimana undang-undang menjaga kebajikan kanak-kanak dan remaja yang terlibat supaya mereka dilindungi daripada eksploitasi.

Wan Azizah juga berkata, bagi mengekang perkahwinan di bawah umur, kerajaan mengambil beberapa langkah termasuk kepentingan program kesedaran dalam pendidikan kesihatan reproduktif.

“Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Menteri Undang-undang, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak akan menetapkan had umur minimum bagi perkahwinan di dalam semua perundangan kepada 18 tahun.

“Syabas kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Sarawak atas pengumuman baru-baru ini berkenaan penetapan had umur minimum bagi perkahwinan. Saya berharap negeri-negeri lain akan turut mengambil langkah sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.