Home Nasional Pemansuhan RUU Anti Berita Tidak Benar dibentang 

Pemansuhan RUU Anti Berita Tidak Benar dibentang 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin (dua kiri) ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 atau Akta 803 di Dewan Rakyat untuk dimansuhkan.

Ia sebagai memenuhi janji Manifesto PH pada PRU-14 lalu.

Usul tersebut dibacakan untuk kali kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin sambil menyifatkan ia sebagai detik bersejarah bagi Kerajaan PH.

“Ini adalah detik bersejarah bagi saya sendiri sebab beberapa bulan lepas saya membahaskan undang-undang ini untuk dibatalkan, hari ini saya pula diamanahkan untuk membatalkan pula.

“Akta 803 yang telah dikuatkuasakan pada 11 April 2018 selaras dengan komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang zalim.

“Ia memastikan pihak media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan seperti mana kami telah berjanji dalam 27 Manifesto PH,” katanya ketika membacakan Akta 803 (Pemansuhan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, di Parlimen hari ini.

Mohamed Hanipa berkata, proses pengubalan Akta 803 oleh kerajaan terdahulu terlalu singkat dan konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pengamal media dan ahli-ahli Parlimen (PH) tidak dijalankan secara menyeluruh.

“Akta 803 telah digubal dalam satu tempoh kurang daripada tiga bulan iaitu daripada penubuhan Jawatankuasa Khas berkaitan dengan isu penyebaran berita tidak benar pada 17 Januari 2018 hingga tarikh ia dikuatkuasakan pada 11 April 2018.

“Jawatankuasa khas tersebut hanya bermesyuarat sebanyak tiga kali sahaja iaitu pada 24 Januari 2018, 7 Februari 2018 dan 13 Februari 2018b dalam tempoh tiga bulan tersebut,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga hanya satu bengkel telah diadakan pada 12 Mac 2018 untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan penggubalan Akta 803 itu bersama dengan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan berkaitan.

“Perkara itu menunjukkan betapa tergesa-gesanya kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional dalam meluluskan Akta 803 dan kita tidak hairan ia mendapat reaksi negatif daripada rakyat dan pengamal media di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette